• Freddie (empat, kanan) dan rakan-rakan artis tidak ketinggalan melawat Ameng di Penjara Kluang untuk terus memberi sokongan kepadanya. Freddie (empat, kanan) dan rakan-rakan artis tidak ketinggalan melawat Ameng di Penjara Kluang untuk terus memberi sokongan kepadanya.
1 /

SENAI – Pasrah dalam menjalani hukuman penjara selama lapan tahun yang dikenakan ke atasnya, vokalis kumpulan Spring, Ameng sentiasa bersikap optimis untuk terus berkarya sebagai insan seni dalam bidang nyanyian.

Pengalaman menjalani hukuman di Penjara Kluang sejak April tahun lalu, tidak menyekat pelantun lagu Bourgenvilla itu untuk menghasilkan sepuluh lagu yang mengisahkan pengalamannya berada di penjara.

Ameng, 44, yang turut dikenakan hukuman sepuluh sebatan akibat kesalahan dadah berkata, dia berhasrat untuk berkongsi penyesalan yang dirasai akibat kealpaannya, melalui lagu-lagu yang dihasilkan itu.

“Hampir kesemua lagu yang dihasilkan ketika saya di sini (penjara) adalah berkisarkan pengalaman saya sepanjang menjalani hukuman.

“Lagu-lagu ini merupakan perkongsian saya bersama masyarakat mengenai penyesalan dan pengalaman bagaimana saya menjadi alpa sehingga terjebak ke dalam kesalahan ini.

“Saya juga berhasrat mengajak peminat untuk sama-sama bangkit dari kejatuhan, melalui salah satu lagu saya bertajuk Tangisan Generasi,” katanya ketika menyertai program Jalinan Kasih Hari Raya Aidiladha anjuran Penjara Kluang, di sini, semalam.

Selain itu, Ameng yang turut ditemani isteri Sabariah Zakaria, 42, dan anaknya Wan Ammar Haikal, 5, berkata, pengalaman di penjara memberi peluang kepadanya untuk menginsafi diri dan bangkit dari kelalaian yang dilakukannya sebelum ini.

“Pengalaman menjalani hukuman sebatan paling memberi kesan kepada diri saya untuk berubah dan bangkit dari kelalaian.

“Program yang disediakan pihak penjara terutamanya membabitkan aktiviti keagamaan juga banyak mempengaruhi saya untuk membentuk peribadi yang mulia,” katanya.

Dalam pada itu katanya, beliau turut bersyukur kerana masih diterima oleh keluarga dan rakan-rakan yang sentiasa mengambil berat tentang dirinya serta banyak memberi sokongan agar dia terus berubah.

“Saya berasa amat terharu kerana masih diterima oleh keluarga dan rakan walaupun saya mempunyai sejarah hitam.

“Terima kasih kepada pihak yang sudi melawat sepanjang saya berada di sini terutamanya isteri yang sentiasa setia bersama walau apa jua situasi pun,” katanya.

Sementara itu, turut hadir melawat Ameng sempena program Jalinan Kasih itu termasuk Presiden Persatuan karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez, penyanyi kumpulan Slam, Zamani, Ibnor Riza serta gitaris Iklim, Umarul.