JOHOR BAHRU - Tindakan seorang lelaki mengambil ubat dan minuman keras secara berlebihan dipercayai dalam cubaan membunuh diri digagalkan bomba, petang semalam.

Dalam kejadian tersebut, bomba berjaya menenangkan lelaki berusia 33 tahun sebelum pasukan perubatan dari Hospital Sultanah Aminah (HSA) datang membuat pemeriksaan.

Ketua operasi, Pegawai Bomba Kanan II Ahmad Nazran Omar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian yang berlaku di sebuah apartmen di Jalan Kempas Utama, dekat sini, sekitar jam 5.50 petang.

Menurutnya, seramai 10 anggota berserta dirinya dari Balai Bomba dan Penyelamat Johor Bahru ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan tersebut.

“Bomba menerima maklumat daripada kakak lelaki berkenaan bahawa adiknya mengambil ubat dan alkohol.

“Tindakan komander operasi menenangkan mangsa yang berada di dalam bilik dalam keadaan sedar dan memohon pihak ambulan dr HSA untuk membuat pemeriksaan penuh ke atas mangsa,” katanya di sini semalam.

Ahmad Nazran berkata, lelaki itu kemudiannya disahkan oleh pembantu perubatan dari HSA dalam keadaan stabil dan diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Operasi tamat kira-kira jam 7.42 petang.