PONTIAN - Menyedari ramai penduduk di Parlimen Tanjung Piai yang bekerja di luar daerah, Amanah Johor bersama pimpinan Pakatan Harapan Tanjung Piai turun padang bertemu pengundi melalui kempen Jom Balik Mengundi.

Naib Pengerusi Amanah Johor, Suhaizan Kayat berkata, kempen tersebut memberi penjelasan kepada pengundi khususnya anak muda yang bekerja di luar Tanjung Piai untuk pulang mengundi pada 9 Mei ini.

Katanya, selain itu, kempen juga turut memberi kesedaran pentingnya undi mereka yang telah berdaftar selama ini.

“Kempen Jom Balik Mengundi yang bertujuan mengajak rakyat keluar mengundi bagi memberi peluang rakyat memilih pemimpin mereka,” katanya, semalam.

Jelasnya, kempen tersebut dijalankan di sekitar kawasan tumpuan orang luar seperti di pasar pagi Pekan Nenas, terminal feri Kukup serta sekitarnya dan terminal bas Pontian, Johor.

“Respons pengunjung terhadap kehadiran pasukan kami disambut baik pengundi khususnya yang bekerja di Singapura, tetapi masih mengundi di Tanjung Piai,” katanya.

Antara pimpinan turut hadir adalah Naib Ketua Bahagian, Dr Mad Farid Mad Rafiq serta wakil-wakil dari parti komponen yang lain, DAP dan PKR yang turut hadir bersama dalam menjayakan aktiviti kempen tersebut.