MERSING - Manifesto yang dibawa ketika berkempen di bawah tiket BN akan dilaksanakan demi rakyat Dun Endau.

Adun Endau, Alwiyah Talib berkata, beliau juga akan menyemak kembali pembangunan yang belum tertunai oleh wakil rakyat sebelumnya.

 “Saya nak lihat pembangunan yang telah berjalan dan yang sepatutnya berjalan tapi terhenti susulan PRU14.

“Jadi mungkin ada kerja-kerja yang tertangguh daripada Adun sebelum ini jadi saya akan lihat kembali kerja-kerja itu dari segi pembangunan maksud saya,” katanya.

Alwiyah berkata, ketika berkempen, beliau turut menggariskan manifesto rumah mampu milik di Dun Endau.

“Saya difahamkan sebelum ini ada cadangan membina rumah kos rendah dan mampu milik. Ini juga adalah antara manifesto saya, menambah lebih banyak rumah mampu milik.

“Saya akan rujuk MB baharu untuk menyambung mana-mana projek tertangguh demi kepentingan rakyat,” katanya.

Selain itu, beliau juga akan memfokuskan kepada usaha menambah pendapatan isi rumah dalam kalangan wanita.

“Saya juga akan memfokuskan kepada menambah kemahiran golongan wanita termasuk suri rumah.

“Kita akan wujudkan lebih banyak kursus, latihan untuk kemahiran secara tidak langsung mereka boleh tambah pendapatan,” katanya.