SEGAMAT - Seorang ibu tunggal di Felda Pemanis 1, di sini, tabah membesarkan lima anak dan seorang anak saudara seorang diri selepas suami meninggal dunia akibat kanser pada 19 Jun lalu.

Nor Azliana Asahari, 39, berkata, arwah suaminya, Hishamuddin Awang Ngah, 40, dikesan menghidap penyakit kanser hati pada awal Februari lalu selepas menjalani pemeriksaan di Hospital Daerah Segamat (HDS).

“Pada awalnya, arwah suami sering mengadu sakit perut dan dia ingat disebabkan penyakit batu karang. Bagaimanapun, sakit tersebut bertambah teruk sehingga menyebabkannya tidak boleh bekerja dan bergerak.

“Hasil pemeriksaan pengimbasan tomografi berkomputer (CT-Scan) di HDS kemudian mendapati suami menghidap kanser hati dan terpaksa ditahan di dalam wad untuk menjalani rawatan,” katanya.

Dia ditemui di rumah keluarganya sewaktu menerima lawatan Ahli Parlimen Sekijang, Natrah Ismail, kelmarin.

Menurutnya, doktor juga memberitahunya pembedahan dan kimoterapi juga tidak boleh dilakukan kerana saluran darah jantung suami tersumbat dan boleh membahayakan nyawa.

Katanya, suaminya yang sebelum ini bekerja sebagai pemandu lori bergantung kepada ubat-ubatan hospital selain pernah menjalani rawatan di Institut Kanser Negara (IKN) Putrajaya.

“Saya juga pernah membawa suami menjalani rawatan tradisional di Melaka, namun tidak Nampak sebarang perubahan dan pada bulan puasa lalu, keadaan kesihatannya semakin merosot dan hanya terlantar sahaja.

“Raya tahun ini pun kami tidak buat sebarang persiapan kerana tidak sampai hati melihatkan keadaan suami dan mungkin takdir ALLAH, suami meninggalkan saya dan anak-anak pada hari kelima Syawal,” katanya.

Menurutnya, anak-anaknya yang berumur di antara enam hingga 16 tahun juga masih merasai kehilangan bapa mereka selain akui terpaksa memikul tanggungjawab sebagai ibu dan bapa untuk membesarkan anak.

Katanya, dia yang tidak bekerja juga terpaksa bergantung kepada wang simpanan arwah suaminya selain bercadang mencari pekerjaan dalam masa terdekat.

“Sekarang saya tinggal di rumah keluarga saya di sini (Felda Pemanis) dan sebelum ini adik-beradik serta ibu ayah banyak bantu saya dan arwah suami terutama melibatkan hal anak-anak,” katanya.