KLUANG - Hutan Lipur Gunung Belumut di sini bakal menjadi destinasi pelancongan menarik dengan penemuan air terjun baru oleh Jabatan Perhutanan Johor di kawasan berkenaan di sini, baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Hoo Seong Chang berkata, walaupun air terjun itu belum dibuka kepada orang ramai namun penemuan itu diharap menambahkan lagi tarikan pengunjung ke kawasan hutan lipur berkenaan.

“Lantaran itu, pihak kerajaan akan terus mempromosikan kawasan hutan lipur di negeri ini sebagai salah satu destinasi pelancong seperti Hutan Lipur Gunung Belumut yang terletak di Kluang ini.

“Saya juga mahu syorkan kepada Jabatan Perhutanan Negeri Johor supaya menganjurkan program-program yang bermanfaat yang boleh menarik lebih ramai pengunjung untuk datang ke hutan lipur,” katanya sempena Perasmian Program Larian Hijau yang diadakan di Hutan Lipur Gunung Belumut, di sini, kelmarin.

Seong Chang berkata, pihaknya sedia maklum bahawa perkhidmatan hutan penting dalam penstabilan dan kawalan alam sekitar, pemuliharaan dan pemeliharaan kepelbagaian biologi, kawasan tadahan air, stok karbon serta sumber genetik flora dan fauna.

Katanya, pelbagai usaha akan diperhebat bagi memastikan sumber hutan terus terpelihara dan fungsinya sebagai pengeluaran barangan dan perkhidmatan hutan dapat dikekalkan.

“Di negeri ini sahaja terdapat lapan hutan lipur yang ditubuhkan dan diuruskan oleh Jabatan Perhutanan. Malah, kita boleh memainkan peranan dalam meningkatkan sektor pelancongan negara dengan menyediakan kawasan-kawasan hutan liput yang menarik dan sesuai untuk aktiviti riadah sama ada untuk penduduk tempatan atau pelancong dari luar negara.

“Statistik bancian ke atas kedatangan pelawat tempatan ke kawasan hutan lipur menunjukkan terdapat peningkatan iaitu 123,127 pengunjung bagi tahun 2009 kepada 211,480 pengunjung pada tahun 2010. Bahkan, begitu juga dengan kedatangan pelancong asing ke kawasan hutan lipur iaitu 227 pengunjung pada tahun 2009 dan meningkat kepada 758 pada tahun 2010,” katanya.

Selain itu, katanya, pelbagai kempen dilancarkan Jabatan Perhutanan bagi memupuk semangat cintakan kehijauan dan meningkatkan kesedaran serta penghargaan kepada alam sekitar oleh segenap lapisan masyarakat dengan lebih satu juta pokok berjaya ditanam seluruh negeri sempena Kempen Menanam 26 juta pokok seperti disasarkan menjelang 2014.

“Oleh itu, saya mengambil kesempatan ini untuk menyeru semua lapisan masyarakat untuk sama-sama menyemai sikap cintakan alam sekitar yang hijau.

“Mudah-mudahan ia menepati hala tuju strategik yang berteraskan Misi Nasional dalam memastikan negara berada di landasan trajektori Wawasan 2020 untuk menjadikan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar sebagai teras dalam semua aktiviti sosial dan ekonomi dapat dicapai,” katanya.