PONTIAN - Siti Nur Aaira Ameera Mohd Mamdoh yang menjalani pemindahan hati China dijangka akan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai jam 8.50 malam esok.

Aaira yang berusia lapan bulan selamat menjalani pembedahan di Hospital Renji Shanghai China pada 2 Mei lalu setelah menerima hati ibunya, Siti Zubaidah Abdul Jalil, 41.

Menerusi WhatApps dikirim Siti Zubaidah, mereka akan menaiki pesawat dari Lapangan Terbang Pudong, Shanghai jam 3.25 petang.

Siti Zubaidah memaklumkan Aaira semakin sihat di mana perut yang dahulunya bengkak kini sudah tiada lagi.

Siti Zubaidah mendukung Aaira yang kini semakin sihat selepas selamat menjalani pembedahan hati di Hospital Renji China.

Malah Aaira selepas hari kedua pembedahan, Aaira menunjukkan perkembangan cukup positif di mana bacaan kuning menurun dan kedua belah mata putihnya tidak kelihatan kuning lagi.

Katanya, dia bersyukur apatah lagi di bulan Ramadan ini, Aaira kembali ke pangkuan keluarga di Kampung Sungai Kuali Serkat Pontian dalam keadaan sihat selepas menjalani pembedahan di China.

“Kami berangkat  ke China pada 26 April lepas. Sepanjang berada di sana kami dibantu sukarelawan Pertubuhan Kebajikan Nadi Permata.

“Terima kasih rakyat Malaysia diatas sumbangan dihulurkan sebanyak RM250,000 bagi menampung kos pembedahan Aaira,”katanya.