PONTIAN - “Aaira kerap merengek menahan sakit, tidurnya paling lama dua jam,” kata Siti Zubaidah Abd Jalil, 41, ibu kepada Siti Nur Aaira Ameera Mohd Mamdoh, 6 bulan, yang mengalami penyakit kegagalan hati (biliary atresia).

Siti Nur Aaira yang dilahirkan secara normal pada 18 Ogos tahun lalu, dikesan menghidap penyakit tersebut semasa berusia enam bulan dan kini dia perlu menjalani rawatan pemindahan hati di Hospital Renji, Shanghai China membabitkan kos rawatan sebanyak RM250,000.

Siti Zubaidah yang bekerja sebagai guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Permas Kelapa berkata, pada awalnya anaknya seperti kebanyakan bayi yang baharu lahir menghidap demam kuning (juandis).

Menurutnya, doktor mengesahkan anaknya menghidap penyakit kuning berpanjangan yang memerlukan rawatan susulan di hospital.

“Saya dan suami, Mohd Mamdoh Isa kerap berulang alik ke hospital di Pontian dan Johor Bahru. Aaira tinggal di wad hampir sebulan untuk rawatan dan pemeriksaan.

“Ketika Aaira berusia empat bulan, perutnya kelihatan mula membuncit dan mata putihnya kelihatan kuning,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Kuali, Serkat di sini, semalam.

Siti Zubaidah tidak menyangka sama sekali anak bongsu dari lima beradik itu menghidap penyakit kegagalan hati (biliary atresia) sewaktu menerima rawatan susulan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

“Saya hampir pengsan bila tahu tentang penyakit Aaira dan dinasihatkan menjalani pemindahan hati di China sebelum Aaira berusia setahun.

“Sebagai ibu sudah tentu saya mahu lihat Aaira gembira seperti kanak-kanak seusianya dengannya. Mungkin rumah lama kami di Kemaman Terengganu akan dijual, tetapi rasanya itu pun masih belum mencukupi untuk tampung kos pemindahan hati sebanyak RM250,000,” katanya.  

Katanya, dia dan suami akan ke PPUM dalam masa terdekat untuk membuat ujian darah bagi melihat sama ada mereka sesuai menjadi penderma hati buat Aaira.

“Aaira bergantung sepenuhnya kepada susu formula khas yang hanya boleh dibeli di farmasi di Johor Bahru.

“Aaira kerap muntah menyebabkan berat badannya hanya 4.9 kg sahaja. Susu formula 400 gram berharga RM70 hanya bertahan untuk dua hari sahaja,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya menerusi akaun CIMB Siti Nur Aaira Ameera Mohd Mamdoh, 762405481