PAGOH - Seramai 78 graduan dari Politeknik Tun Syed Nasir (PTSN) mendapat pengalaman berharga apabila julung kali dirai dalam Konvokesyen Pertama PTSN, semalam.

Acara gilang-gemilang itu membabitkan bekas penuntut PTSN dari dua aliran iaitu Jabatan Teknologi Kimia dan Makanan (JTKM) serta Jabatan Kejuruteraan Petrokimia (JKPK).

Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Politeknik (JPP) dan Jabatan Pengajian Kolej Komuniti (JPKK), Profesor Datuk Dr Mohd Ismail Abd Aziz berkata, Diploma Teknologi Makanan di PTSN diiktiraf Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) manakala program-program lain sedang dalam proses ke arah pengiktirafan tersebut.

“Akreditasi MQA ialah pentakrifan kelayakan yang diberikan kepada sesuatu program yang dikira telah menepati piawaian standard kualiti digariskan selari dengan sistem keberkesanan pembelajaran dari segi teori mahupun praktikal yang diwajibkan di Malaysia.

“Oleh itu, ibu bapa tidak perlu gusar pengiktirafan program di PTSN yang dijamin pengiktirafan termasuk kursus-kursus lain yang bakal diiktiraf MQA,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena merasmikan Majlis Konvokesyen Pertama PTSN di Dewan Konvensyen Hub Pendidikan Tinggi Pagoh, semalam.

Hadir sama, Pengarah PTSN, Abd Razak Senan.

Menurutnya, pada masa sama, mutu program pendidikan yang unggul serta pengurusan institusi di PTSN turut dalam proses ke arah mempunyai persijilan Sirim.

“Saya percaya PTSN susun berbagai aktiviti yang boleh menjadikan para pelajar individu yang berilmu.

“Saya gesa graduan PTNS guna ilmu yang telah diperolehi untuk menjana ekonomi dan pembangunan negara,” katanya.