MERSING - Seramai 68 mangsa daripada 18 keluarga di Kampung Baru Jemari dipindahkan ke pusat penempatan sementara (PPS) di Sekolah Agama Pengkalan Batu yang dibuka jam 6 petang tadi.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Mersing, Nurnajibah Abdullah berkata pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Mersing menerima laporan kira-kira jam 12 tengah hari tadi berhubung kawasan Kampung Baru Jemari dinaiki air.

"Kita hantar anggota untuk memindahkan mangsa dari Kg Jemari ke pusat penempatan sementara (PPS) di Sekolah Agama Kg Pengkalan Batu.

"Laluan ke kampung tersebut terputus hubungan jadi kita menggunakan bot untuk membawa keluar mangsa," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Dua PPS sudah beroperasi sejak Rabu lalu iaitu di Air Papan dan Kg Tenglu Besar.

Setakat jam 11 malam, seramai 147 mangsa telah dipindahkan ke tiga buah PPS iaitu 38 mangsa di Balairaya Kg Tenglu Besar dan 41 orang di SK Air Papan.