PENGHORMATAN menaikkan Jalur Gemilang secara rasmi buat pertama kali masih terpahat dalam ingatan seorang pesara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Mohamad Sharif Kalam, 82, biarpun peristiwa itu sudah 60 tahun berlalu.

Tugas itu dilaksanakan sambil diiringi lagu Negaraku yang berkumandang tepat jam 8 pagi selepas laungan merdeka oleh bekas Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj di Stadium Merdeka pada 31 Ogos 1957.

Walaupun tempohnya hanya tiga minit, perasaan bangga Mohamad Sharif yang bersara pada 16 April 1987 dengan pangkat Leftenan Komander TLDM itu tetap tebal dan tidak akan dilupakan dalam lipatan sejarah hidupnya.

Penghargaan itu turut dilakukan bersama dua lagi teman seangkatannya iaitu Oliver Culvert Samuel yang kini menetap di Pulau Pinang serta Allahyarham Awang Salleh dari Jerantut, Pahang yang meninggal dunia pada 1970-an.

Beliau yang berasal dari Batu Pahat, Johor pada ketika itu baru berusia 21 tahun dan tidak menyangka terpilih untuk menjalankan tugas yang merupakan peristiwa besar kepada negara.

“Saya masih ingat lagi saat bendera itu dinaikkan, Stadium Merdeka yang dipenuhi orang mahu turut serta menyaksikan peristiwa bersejarah itu senyap dan sunyi kerana memberi penghargaan kepada lagu Negaraku.

“Saya berasa benar-benar bangga kerana turut sama terlibat dalam peristiwa sejarah negara apatah lagi bendera itu belum pernah dilihat oleh orang ramai dan yang pasti saya tidak akan lupakannya sepanjang hayat.

“Lebih menarik peristiwa penting itu berlaku ketika saya menyambut ulang tahun kelahiran ke-21 dalam bulan Islam. Ini adalah satu pengalaman yang begitu bernilai juga dua rakan yang turut terlibat,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Pelangi, Johor Bahru.

Mengimbau kembali tugas tersebut, bapa kepada Abu Bakar, 47, itu memberitahu, beliau beranggap tugas diamanahkan kepadanya bersama dua rakannya adalah rezeki ALLAH dan bersyukur ia dapat dilakukan dengan sempurna.

“Sudah menjadi tradisi tugas menaikkan bendera adalah tugas tentera laut dan tiga hari sebelum peristiwa penting itu kami perlu membuat latihan. Saya ditugaskan memegang tali sebelah kiri dan Alhamdulillah ia berjalan dengan sempurna.

“Majlis pada ketika itu dimulai dengan laungan merdeka oleh Tunku Abdul Rahman kemudian diikuti azan serta nyanyian lagu Negaraku dan pada ketika itu saya bersama dua lagi rakan menyempurnakan tugas kami menaikkan bendera,” katanya.

Katanya, beliau turut sebak menjelang sambutan ulang tahun kemerdekaan negara kerana mengenangkan pengalamannya itu dan turut menasihatkan generasi muda supaya mempertahankannya.

“Pertama kali, syukur ALLAH panjangkan umur saya untuk saksikan pelbagai nikmat yang kita tidak perasan ini. Banyak kemajuan kini kita kecapi berbanding dahulu. Kita kena ingat dan balik semula pada sejarah kita.

“Kita kena bersatu padu kerana ekonomi negara sekarang juga semakin bagus. Maka rakyat perlu menjaga negara kita dengan baik. Jauhkan sifat suka benci atau iri hati, kita kena daulatkan raja kita,” kata.

Mohamad Sharif yang sudah kematian isteri Kalthum Ahmad, 74, bagaimanapun turut meluahkan rasa sedihnya apabila segelintir pihak yang sambil lewa mengibarkan Jalur Gemilang kerana menganggap bendera adalah sebagai lambang yang perlu dihormati semua pihak.

“Bendera adalah aset atau lambang yang perlu dihormati. Kadang-kala kita sedih melihat segelintir pihak masih mengibarkan bendera yang koyak.

“Nak kata mereka hina nampak seperti tidak, tetapi mereka hanya sambil lewa, tiada rasa semangat untuk mengibarkan bendera yang menjadi kebanggaan kepada negara,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • UMBAI - Bukan mudah untuk melupakan kisah-kisah lama terutama ketika melalui kehidupan pada era sebelum merdeka dan selepas kemerdekaan dicapai.
  • KLANG - Hampir 700 orang hadir ke Majlis Kesyukuran Dan Minum Petang Sempena Sambutan Kemerdekaan bagi menyemarakkan lagi sambutan Hari Kemerdekaan ke-60, hari ini.
  • DETIK bersejarah menjadi individu pertama menaikkan bendera Persekutuan Tanah Melayu menggantikan bendera Union Jack pada 31 Ogos di Padang Besar Bandar Pontian, masih segar dalam ingatan Samsudin Samad, 79.
  • KOTA BHARU - Lebih 1,000 warga Sekolah Kebangsaan (SK) Mentuan bersama komuniti setempat menyemarakkan sambutan ambang merdeka yang berlangsung di sini.
  • BENTONG - Pejabat Daerah dan Tanah Daerah Bentong dengan kerjasama Majlis Belia Daerah Bentong dan Majlis Perbandaran Daerah Bentong telah menganjurkan Kempen Negaraku Sehati Sejiwa dan Konvoi Merdeka di Karnival Bentong, Padang Tras di sini, semalam.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.