JOHOR BAHRU - Seramai 53,608 calon menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini melibatkan 947 buah pusat peperiksaan di seluruh Johor dari 11 hingga 18 September depan.

Daripada jumlah calon tersebut, seramai 34,828 adalah calon Sekolah Kebangsaan (SK); 16,087 calon Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC); 1,833 calon Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) manakala 860 lagi merupakan calon sekolah swasta.

Dalam pada itu, Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Rendah Johor Bahru, Sari'at Mokmin berkata, untuk daerah Johor Bahru terdapat 11,208 calon daripada 98 buah sekolah menduduki peperiksaan tersebut hari ini.

"Terdapat tiga calon menduduki peperiksaan di hospital iaitu dua calon di Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan seorang calon di Columbia Hospital," katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau 135 calon peperiksaan UPSR di SK Kompleks Uda, Bandar Baru Uda, di sini hari ini.