SEGAMAT - Seramai 51 peneroka dan waris peneroka Felda di Parlimen Sekijang yang sudah membayar hutang pembelian saham Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) menerima insentif seperti yang dijanjikan kerajaan.

Ahli Parlimen Sekijang, Anuar Abdul Manap berkata, insentif tersebut diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sewaktu sambutan Hari Peneroka Felda peringkat kebangsaan di Putrajaya pada Julai lalu.

“Dahulu sewaktu pengapungan saham FGV, peneroka Felda diberikan beberapa unit saham dan mereka juga telah buat pinjaman dengan Felda untuk membeli saham ini sebelum perdana menteri menghapuskannya sewaktu sambutan Hari Peneroka yang lalu.

“Bagaimanapun, tidak ramai peneroka yang habis membayar hutang ini, dan bagi mereka yang sudah habis membayar hutang tersebut, mereka akan menerima penghargaan insentif sebanyak RM1,820 kerana kerajaan hendak berlaku adil kepada semua peneroka,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Insentif Pembayaran Saham FGV di Dewan Semai Bakti Felda Pemanis, di sini, semalam.

Turut hadir, Pengurus Besar Felda Wilayah Segamat, Razuwan Che Rose.

Anuar berkata, di Parlimen Sekijang sahaja, kerajaan memperuntukkan RM92,820 untuk membayar insentif tersebut kepada 51 peneroka dari lima kawasan iaitu Felda Pemanis 1 dan 1, Felda Kemelah, Felda Redong dan Felda Medoi.

“Di seluruh negara, seramai 77,934 peneroka yang sebelum ini membayar pinjaman saham FGV telah dilupuskan baki pinjaman mereka dengan kadar ringgit ke ringgit yang melibatkan peruntukan keseluruhan RM128.10 juta.

“Apa yang dilakukan oleh kerajaan ini selari dengan usaha ke arah tadbir urus dan integriti lebih mantap, selain pelbagai lagi insentif dan inisiatif yang memberi manfaat kepada peneroka dan warga Felda itu sendiri,” katanya.

Pada masa sama, beliau mengingatkan warga Felda agar tidak terpedaya dengan helah pembangkang yang berlagak kononnya mereka pembela peneroka sebaliknya telah melakukan pelbagai usaha bagi menjejaskan reputasi Felda dan kerajaan.

Katanya, pembangkang sebenarnya mempunyai agenda terselindung yang bertujuan mengelirukan dan memecahbelahkan warga Felda, malah sudah terbukti campur tangan mereka banyak menimbulkan masalah yang akhirnya menyusahkan golongan peneroka sendiri.

“Contohnya, tindakan segelintir peneroka yang menyaman Felda yang banyak berjasa kepada mereka dan keluarga tetapi marah apabila tidak menerima duit raya serta bantuan lain,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • HULU BERNAM - Pengalaman ladang sawit diserang ulat bungkus suatu ketika dulu mendorong peneroka Felda Sungau Tengi Selatan mengambil inisiatif menanam tiga jenis pokok bunga di rumah dan jalan utama sebagai langkah pencegahan.
  • TANAH MERAH - [VIDEO] Seramai 441 peneroka Felda Kemahang 2 dan 3 menerima suratan atau geran hak milik daripada kerajaan negeri, di sini, hari ini.
  • TEMERLOH - Mahkamah Tinggi di sini hari ini, menolak saman yang difailkan 492 peneroka gugusan Felda Bera terhadap Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan sebuah anak syarikatnya, atas dakwaan penipuan dan pecah amanah.