KLUANG - Polis Kluang berjaya memberkas 499 termasuk penjaga dan pemain yang menjalankan aktiviti perjudian dalam talian atau online di daerah ini sepanjang Januari hingga bulan ini.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asistan Komisioner Mohamad Laham berkata, tangkapan tersebut diperoleh hasil daripada 132 serbuan yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang ke atas premis-premis di sekitar daerah ini.

Menurutnya, daripada pemeriksaan ke atas premis mendapati kesemuanya dipercayai menjalankan kegiatan perjudian secara online di premis yang tidak mempunyai lesen sah.

“Pihak Bahagian Siasatan Jenayah telah mengambil tindakan tegas bagi membanteras dan melumpuhkan segala kegiatan mesin-mesin judi ini hasil daripada maklumat dan aduan awam.

“Hasil serbuan, pihak polis berjaya merampas 2,631 mesin judi termasuk komputer riba sepanjang Januari hingga September. Pihak polis juga berjaya merampas wang tunai campur-campur bernilai RM38,849,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Kluang, semalam.

Mohamad berkata, pada masa ini usaha membanteras kegiatan tersebut dipergiatkan lagi dengan operasi bersepadu bersama Majlis Perbandaran Kluang (MPK), Pejabat Daerah dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di beberapa lokasi yang telah dikenal pasti.

Katanya, sepanjang tahun lepas tindakan diambil dengan melakukan pemotongan bekalan elektrik oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Pada tahun ini, sebanyak lapan premis dikenakan tindakan pemotongan bekalan elektrik dan jumlahnya semakin menurun berbanding tahun lepas sebanyak 26 premis," katanya.

Menurutnya, kes perjudian dalam talian akan disiasat di bawah Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953 dan Seksyen 6(2) Enakmen Hiburan Negeri Johor (EHNJ) 4/1998.

“Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM10,000 dan tidak lebih RM100,000 bagi mesin judi yang dirampas dan penjara tidak melebihi lima tahun untuk seksyen Rumah Judi Terbuka.

“Manakala bagi Seksyen 6(2) Enakmen Hiburan Negeri Johor (EHNJ) 4/1998 jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Beliau berkata, hasil daripada operasi berterusan yang dijalankan, kegiatan judi dalam talian lumpuh sepenuhnya di daerah Kluang.

Bagaimanapun katanya, pihaknya akan terus membuat pemantauan setiap hari di kawasan premis yang pernah menjalankan aktiviti perjudian agar ia tidak beroperasi semula.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SIBU - Enam pemandu teksi diberkas polis kerana terbabit bermain judi ‘See Kee Pui’ di pondok Perhentian Pemilik Teksi Sibu di Jalan Khoo Peng Loong di sini pada 2.30 petang hari ini.
  • MIRI - Polis Sarawak menahan 50 individu menerusi 36 serbuan terhadap pusat perjudian di seluruh negeri mulai 6 hingga 12 November lalu.
  • TELUK INTAN - Keseronokan 12 lelaki tempatan menikmati permainan judi dalam talian dipercayai baru dibuka dua hari terencat selepas mereka ditahan pihak polis dalam sebuah serbuan Jumaat lepas.
  • MIRI - Polis Sarawak melancarkan fasa kedua ‘peperangan’ memerangi kegiatan judi haram dengan menumpukan serbuan ke atas penjualan 4D haram susulan kejayaan menghapuskan kegiatan judi mesin dan siber.
  • AMPANG - Pengerusi Gabungan NGO-NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Md Yunos sekali lagi menggesa Kerajaan Negeri Selangor supaya mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) membatalkan atau menarik balik lesen pusat hiburan keluarga serta-merta kerana khuatir ada dikalangan pemilik premis berkemungkinan menyalahgunakan lesen itu dengan membuka premis judi.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.