MERSING - Dua wanita antara 39 orang ditahan dalam Op Dadu oleh anggota cawangan Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mersing dalam tempoh 10 bulan ini.

Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Cyril Edward Nuing berkata, tangkapan bermula 1 Januari hingga 31 Oktober 2018 itu melibatkan mereka berusia 17 hingga 40 tahun.

“Sebanyak 28 daripada 78 serbuan berjaya dilakukan melibatkan 29 tangkapan dengan nilai rampasan wang tunai RM1062 dan kes disiasat di bawah Seksyen 4A (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 iaitu judi loteri awam haram.

“Bagi Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 iaitu judi online pula, satu serbuan berjaya dilakukan dengan satu tangkapan. Sementara Seksyen 6 (2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 iaitu judi dalam bangunan satu serbuan dilakukan melibatkan sembilan tangkapan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, tangkapan dilakukan dalam 80 serbuan itu turut berjaya merampas wang tunai sebanyak RM74,349 serta merampas peralatan yang digunakan dalam aktiviti perjudian tersebut.

“Pihak Polis IPD Mersing sangat komited untuk memastikan aktiviti perjudian haram iaitu judi loteri awam haram, judi online dan judi dalam bangunan dibanteras sepenuhnya. Kita berterima kasih kepada orang awam yang banyak menyalurkan maklumat,” katanya.