JOHOR BAHRU - Tiga sekeluarga dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga tuduhan berasingan membekal susu tiruan yang menggunakan cap dagangan palsu di tiga premis ubat sekitar Skudai pada Disember tahun lalu.

Yap Kai Chai, 59, menghadapi tiga pertuduhan, masing-masing satu kes bersama adik iparnya, Ling Mei Nar, 42,dan dua kes dihadapi bersama anak lelakinya, Yap Chang Hong, 26.

Bagaimanapun kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Jailani Rahman.

Dalam pertuduhan pertama, Kai Chai, bersama adik iparnya Mei Nar, selaku pemilik perkongsian Kedai TCM Yongtai Lian dituduh menawarkan pembekalan satu unit susu rumusan bayi 1.8 kilogram yang baginya suatu perihal dagangan palsu digunakan seolah-olah ia tertakluk kepada hak berhubungan dagangan berdaftar.

Kai Chai bersama anak lelakinya ketika hadir ke mahkamah di sini, hari ini.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Taman Mutiara Rini, Skudai di sini pada kira-kira jam 1 petang, 7 Disember tahun lalu.

Sementara itu dalam pertuduhan kedua, Kai Chai dan anaknya Chang Hong, selaku pemilik perkongsian Kedai Ubat & Membeli-belah Yong Thye Lian dituduh menawarkan pembekalan satu unit susu rumusan bayi 1.8 kilogram yang baginya suatu perihal dagangan palsu digunakan seolah-olah ia tertakluk kepada hak berhubungan dagangan berdaftar.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di premis di Taman Nusa Bestari, Skudai di sini pada kira-kira jam 2 petang pada 7 Disember tahun lalu .

Kedua-dua pertuduhan dikendalikan mengikut Seksyen 8(2)(b) Akta Perihal Dagangan 2011 yang boleh didenda tidak lebih RM10,000 bagi setiap barang atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Manakala dalam pertuduhan ketiga, Kai Chai dan anaknya turut didakwa ada dalam kawalan mereka untuk pembekalan 208 unit susu rumusan bayi 1.8 kilogram yang baginya suatu perihal dagangan palsu digunakan seolah-olah ia tertakluk kepada hak berhubungan dagangan berdaftar.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di premis di Taman Seri Orkid, Skudai di sini pada kira-kira jam 4.40 petang pada 7 Disember tahun lalu.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 8(2)(c) Akta Perihal Dagangan 2011 yang boleh didenda tidak lebih RM10,000 bagi setiap barang atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Kesemua pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan (KPDNKK), Lydia Salleh manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili Peguam, C S Lim.

Mahkamah menetapkan 23 Mac ini sebagai sebutan semula bagi proses representasi.