JOHOR BAHRU - Tiga remaja termasuk dua adik beradik cedera selepas dipukul oleh sekumpulan 15 individu berikutan berlaku tidak puas hati dalam persaingan di antara dua kumpulan tarian singa.

Mangsa, Edward Beh, 16, dan adiknya, Edwin, 13, serta rakan mereka, Liew Jun How, 16, mengalami luka pada anggota badan selain turut menerima jahitan di kepala akibat insiden berkenaan.

Bapa Edward dan Edwin, Beh Hung Cheh, 46, berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 8 malam ketika ketiga-tiga remaja itu sedang berjalan pulang ke rumahnya di Taman Nusa Bestari, di sini, pada 31 Mac lepas.

“Semasa kejadian, saya tiada di rumah kerana pergi ke balai polis untuk membuat laporan. Ini berikutan, saya turut menerima ancaman dari kumpulan singa yang tidak berpuas hati dengan kumpulan singa kami.

“Isteri saya pula tidak dapat berbuat apa-apa kerana ramai yang menyerang anak-anak saya serta kawannya.

“Isteri saya terpaksa lari mengikut pintu belakang rumah kami kerana dia mahu melindungi anak-anak kami yang lain dan turut takut melihat situasi berkenaan,” katanya yang memberitahu kejadian itu mendatangkan trauma dan ketakutan kepada ketiga-tiga mangsa.

Hung Cheh berkata, rasa tidak puas hati bermula apabila dia menubuhkan sebuah kumpulan tarian singa lain di sebuah sekolah.

“Saya memutuskan untuk menubuhkan sebuah kumpulan tarian singa baru untuk pelajar dan saya tidak sangka perkara ini telah mencetuskan rasa tidak puas hati kumpulan singa lain hingga terjadi pergaduhan seperti ini,” katanya.

Katanya, peralatan rumahnya termasuk dua televisyen, empat komputer, perabot dan tingkap turut dirosakkan oleh kumpulan individu yang menyerang Edward dan Edwin dan Jun How.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Noor Hashim Mohamed mengesahkan kejadian tersebut dan memaklumkan tiga suspek berumur 20-an telah ditahan bagi membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan senjata.