• 2 rumah jadi sasaran tembak Rumah mangsa di Kangkar Pulai yang jadi sasaran tembak, semalam.
1 /

SKUDAI - Dua keluarga yang sedang nyenyak tidur di kediaman masing-masing di kawasan Kangkar Pulai dan Pulai Perdana, di sini, dikejutkan dengan bunyi tembakan yang disasarkan ke kediaman mereka, awal pagi, semalam.

Ketua Polis Daerah Nusajaya, Superintendan Noor Hashim Mohamed berkata, dalam kejadian pertama, lebih kurang jam 4 pagi, di Jalan Limau Nipis, Kangkar Pulai, dekat sini, enam sekeluarga terbabit menyangka bunyi bising itu berpunca daripada letupan mercun sebelum menemui kesan tembakan di dinding rumah mereka.

“Sekumpulan pegawai serta anggota polis bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima laporan dan menemui lima kelongsong peluru selain kesan tembakan di bahagian dinding rumah berkenaan.

“Kita sudah ambil keterangan mangsa dan kelongsong peluru berkenaan sudah dihantar ke makmal untuk ujian balistik,” katanya kepada Sinar Harian.

Noor Hashim berkata, kejadian serupa turut berlaku di kawasan Pulai Perdana pada waktu dan modus operandi sama.

Kes kedua itu melibatkan dua sekeluarga.

“Kita menjumpai empat kesan tembakan di kawasan kediaman terbabit dan salah satunya mengenai kenderaan milik mangsa.

“Kita sedang menyiasat sama ada kedua-dua kes ini mempunyai kaitan atau sebaliknya memandangkan ia berlaku pada waktu yang hampir sama.

“Motif sebenar kejadian ini juga sedang disiasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960,” katanya.

Justeru itu, beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu untuk menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.