JOHOR BAHRU - Bilangan mangsa banjir di Segamat dan Mersing terus meningkat kepada 160 orang setakat 9 malam ini daripada 127 orang petang tadi dengan pembukaan dua lagi pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Segamat.

Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata Kompleks Penghulu Mukim Pogoh yang dibuka pada jam 5 petang tadi menempatkan seramai 29 mangsa daripada tiga keluarga.

Sementara itu, Pusat Aktiviti Belia Kampung Tekam pula menempatkan sebuah keluarga yang terdiri daripada empat orang.

"Di Balai Raya Gemereh 4 Batu Badak pula menempatkan 54 orang daripada 14 keluarga manakala Balai Raya Kampung Pogoh Tengah menempatkan seramai 10 orang daripada dua keluarga," kata Ayub dalam kenyataan di sini.

Balai Raya Kampung Tenglu Besar, Mersing, menempatkan 34 orang manakala Sekolah Kebangsaan Air Papan, Mersing, menyaksikan seramai 29 mangsa banjir.

"Jalan Telok Arong di Mersing yang pada mulanya ditutup satu lorong kini ditutup sepenuhnya akibat runtuhan cerun," kata beliau.

Bagaimanapun, orang ramai boleh menggunakan laluan alternatif iaitu Jalan Tanjung Resang-Jalan Mersing/Endau-Jalan Air Papan.

Selain itu, Jalan Kampung Sungai Bebuta juga di Mersing, turut ditutup untuk semua kenderaan akibat banjir dan orang ramai boleh menggunakan laluan alternatif iaitu Jalan Endau-Penyabong. –Bernama