JOHOR BAHRU – Sebanyak 26 kes kemalangan maut di tempat kerja direkodkan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Johor dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Pengarah JKKP Johor, Ir Saiful Azhar Mohd Said berkata, daripada jumlah berkenaan, 16 kematian dicatatkan daripada sektor 3D (dangerous, dirty, difficult) iaitu membabitkan pekerja di sektor pembinaan.

“Kemalangan maut di tempat kerja melibatkan 26 kes yang mana sebahagian daripadanya iaitu 16 kes melibatkan kes di tapak bina. Antara punca kemalangan berlaku di tapak bina adalah akibat terjatuh dari tempat tinggi dan tersepit pada jentera yang dikendalikan mereka.

“Selain itu, punca lain menyebabkan kemalangan berlaku adalah disebabkan segelintir majikan yang tidak menitikberatkan soal keselamatan,” katanya pada Program Workplace Accident Free Week Peringkat negeri bersempena Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan 2018.

Program diadakan di tapak pembinaan Projek Elata Vila di Taman Setia Tropika, di sini, hari ini, disempurnakan Exco Kepenggunaan, Sumber Manusia dan Perpaduan, Dr S Ramakrishnan.

Hadir sama, Pengurus Besar Bahagian SP Setia Berhad, Stanley Saw.

Ia bertujuan mempromosikan budaya pencegahan kemalangan dan penyakit pekerjaan di tempat kerja selain mendidik dan memberi pendedahan serta kefahaman kepada pihak majikan dan pekerja mengenai aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan semasa bekerja.

Dalam pada itu, Saiful Azhar berkata, JKKP negeri telah menjalankan kira-kira 20,703 pemeriksaan ke atas tempat kerja dan jentera.

“Berdasarkan jumlah tersebut, JKKP Johor telah mengeluarkan sebanyak 1,163 surat arahan; 1,199 notis dan 73 kesalahan kompaun dan sebanyak 38 kes didakwa atas kesalahan berkaitan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja,” katanya.

Berikutan itu, beliau berharap, majikan dan pekerja perlu menerapkan amalan budaya kerja selamat dan sihat di tempat kerja bagi menurunkan kadar kemalangan pekerjaan.

“Ini sekali gus dapat meningkatkan produktiviti organisasi dan melahirkan generasi pekerja yang selamat dan sihat,” katanya.