MUAR - Karnival Kerjaya 2018 dilihat berjaya memberikan manfaat kepada golongan belia apabila seramai 150,000 individu kini memiliki pekerjaan masing-masing melalui penubuhan program secara terbuka itu.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berkata, jumlah itu diperoleh berdasarkan pelaksanaan karnival yang diadakan dalam tempoh tahun ini.

Menurutnya, pada 2017 pula, seramai 183,000 belia di negara ini memperoleh pekerjaan menerusi karnival anjuran Kementerian Sumber Manusia.

“Jumlah kekosongan yang ditawarkan ini berjaya diisi oleh kira-kira 60 peratus belia. Kriteria pekerjaan pula membabitkan siswazah dan bukan siswazah.

“Karnival Kerjaya Muar 2018 anjuran kerajaan negeri melalui Unit Swadaya Insan Johor, Jobs Malaysia Johor dan beberapa agensi terlibat menawarkan sehingga 1,719 pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di karnival terbabit yang diadakan di Dewan Jubli Intan, Muar.

Mahfuz berkata, sebanyak 260 peluang pekerjaan melibatkan graduan IPT dan 1,599 pula adalah bukan siswazah ditawarkan dalam karnival berkenaan.

“22 majikan mewakili jumlah kekosongan pekerjaan ini. Bagaimanapun, golongan yang melibatkan siswazah hadir adalah 634 dan bukan siswazah hanya 233 individu.

“Di sini jelas menunjukkan kesedaran bagi golongan bukan siswazah masih kurang untuk menyertai karnival ini sedangkan tawaran kerja bagi kumpulan itu adalah tinggi,” katanya.

Justeru, beliau menyeru orang ramai dapat memanfaatkan program yang berlangsung di serata negeri ini.

“Melalui program ini, seramai 126 belia berjaya mendapat pekerjaan mereka manakala 192 lagi akan melalui temuduga kedua dengan majikan masing-masing.

“Dalam tempoh terdekat nanti, karnival ini akan diteruskan pada 23 November di Dewan Pekan Rabu, Kluang pula,” katanya.