• Suriani tetap cekal dan sabar menguruskan suaminya setiap hari sejak 15 tahun lalu. Suriani tetap cekal dan sabar menguruskan suaminya setiap hari sejak 15 tahun lalu.
1 /

SEGAMAT – Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Begitulah yang dapat digambarkan terhadap beban terpaksa ditanggung seorang ibu beranak empat di Kampung Jabi 02, di sini.

Lima belas tahun lamanya, Suriani Abd Rahman, 44, terpaksa mengambil alih tugas sebagai ketua keluarga dan bekerja keras bagi menampung perbelanjaan tiga anaknya yang masih bersekolah, selain suami yang sakit terlantar.

Menurut Suriani, suaminya, Azmi Elias, 50, mula jatuh sakit pada tahun 1998 apabila kerap mengadu pening kepala.

“Suami saya kerap demam, kemudian jalan pula terhuyung-hayang dan percakapannya makin lama makin sukar untuk kami anak beranak fahami.

“Selama tiga tahun dia terpaksa berpaut pada dinding setiap kali hendak bergerak. Ketika itu tiada ubat-ubatan diambil melainkan rawatan dan ubat tradisional sahaja,” katanya yang pernah sama-sama mengusahakan gerai makan bersama suaminya ketika dia masih sihat di Pekan Jabi.

Suriani berkata, pelbagai jenis rawatan tradisional juga telah dicuba, malah suaminya pernah dipukul dengan buluh sebanyak 100 kali ketika menjalankan rawatan di Melaka.

“Bagaimanapun ternyata ubat-ubatan tradisional tidak memberikan sebarang kesan kepadanya kerana keadaannya masih begitu.

“Suami saya kini menjalani rawatan di Hospital Segamat selama tiga bulan sekali dan menerima ubat-ubatan di Klinik Buloh Kasap sebulan sekali,” katanya.

Menurut Suriani, dia juga bersyukur apabila pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menghulurkan bantuan sebanyak RM200 untuk menampung perbelanjaan dua anak yang masih bersekolah dengan nilai RM100 setiap orang sehingga umur mereka 18 tahun.

“Pada tahun 2005, pihak JKM sekali lagi menyalurkan bantuan RM300 setiap bulan kepada saya di bawah skim penjaga pesakit terlantar,” katanya.

Namun nasib tidak menyebelahinya sekeluarga apabila keadaan kesihatan suami pula semakin terjejas sejak tahun itu sehinggalah kini.

“Bagaimanapun saya redha dengan apa yang berlaku. Saya kuatkan semangat dan bekerja sambilan dengan membantu ibu mertua saya memasak sambal untuk hidangan sarapan.

Hasilnya bolehlah digunakan untuk membeli lampin pakai buang yang diperlukan suami setiap hari,” katanya yang memerlukan empat keping lampin pakai buang sehari untuk suaminya dan terpaksa membelanjakan RM40 seminggu bagi membeli lampin tersebut.

Sementara itu, Ketua Kampung Jabi 02, Mohd Ali Hishamuddin berkata, selain sumbangan daripada pihak JKM, Suriani turut menerima sumbangan Baitulmal sebanyak RM250 untuk menampung kos perbelanjaan mereka sekeluarga.