JOHOR BAHRU - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menahan 15 pegawai belia dan sukan untuk membantu siasatan berkaitan tuntutan palsu.

Penahanan kesemua pegawai terbabit adalah susulan tangkapan beberapa individu dibuat pada 1 Oktober lalu.

Hasil siasatan mendapati kesemua suspek tersebut bersubahat dengan kontraktor-kontraktor dalam membuat tuntutan palsu berkaitan kerja penganjuran Program Liga Sukan Untuk Semua Daerah di Ledang, Mersing, Muar, Batu Pahat, Kulai, Pontian, Kluang dan Kota Tinggi bagi tahun 2015 sedangkan ia tidak dilaksanakan.

Jumlah keseluruhan tuntutan palsu yang telah dituntut adalah melebihi RM90,000.

Kesemua suspek berusia lingkungan 30 hingga 50an merupakan pegawai belia dan sukan yang bertugas di pejabat belia dan sukan daerah di negeri ini.

Mereka ditahan di pejabat SPRM Johor kira-kira jam 12 tengahari tadi.

Suspek yang terdiri lelaki dan wanita ditahan bagi membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 di mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun.

Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan memaklumkan kesemua suspek akan dihadapkan ke mahkamah esok untuk permohonan reman bagi membantu siasatan.