BATU PAHAT - Sebanyak 11 utas jam tangan mewah pelbagai jenama bernilai sehingga RM52,500 dilarikan perompak apabila memecah masuk sebuah kediaman di Taman Mutiara, Yong Peng.

Pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat,  Superintendan KS Mender Singh,  berkata dalam kejadian jam 3.40 pagi, kehadiran perompak lewat disedari pemilik yang juga pengusaha ladang sawit berikutan mangsa dan keluarga tiada di rumah kerana bercuti di Genting Highlands, Pahang.

Menurut Mender Singh, mangsa hanya menyedari rumahnya dipecah masuk selepas menerima amaran penggera yang disambung ke telefon pintar.

“Sebaik menerima makluman mangsa,  sepasukan polis dikejarkan di sebuah taman perumahan di pekan Yong Peng. Setibanya anggota di rumah mangsa mendapati penyamun sudah melarikan diri bersama 11 utas jam mewah berkenaan. Bagaimanapun, cap jari penjenayah berjaya dikesan di lokasi kejadian.

“Sebanyak 11 jam tangan mewah itu membabitkan seutas jam tangan jenama Rado (berwarna perak),  Panerei (perak),  dua jam Oris (perak dan hitam),  Mido (emas), Orient (hitam), dua jam tangan Ball (perak),  Epos (perak), Omega (biru gelap)  dan Gucci (emas),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD)  Batu Pahat,  semalam.

Menurutnya, pada masa sama, penyamun turut melarikan wang Yuan China bernilai RM3,000 dan Dolar Singapura bernilai RM120 dari rumah mangsa termasuk dekoder CCTV rumah mangsa.

Mender Singh memberi amaran kepada orang ramai agar tidak terlibat dalam urusan jual beli jam tangan mewah yang dilihat mencurigakan.

“Kita minta mereka lapor kepada polis dengan segera sekiranya mendapat tahu aktiviti jualan mereka.

“Diharap agar mana-mana individu tidak terlibat dengan urusan jual beli seumpama ini kerana jika berdegil, pembeli turut boleh didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan, “ katanya.