JOHOR BAHRU - Seorang saudara baharu sanggup bertindak keluar rumah dan menghilangkan diri daripada keluarganya demi mendalami ilmu agama Islam pada 1987.

Mohamad Rahmat Abdullah, 50, berkata, itu antara cabaran yang perlu dihadapinya berikutan ahli keluarganya berpegang kuat kepada agama asal.

“Ini kerana saya mendapat tentangan dari ahli keluarga dan menghalang niat saya untuk memeluk agama Islam,” katanya ketika ditemui selepas Sambutan Maal Hijrah 2018 negeri Johor di Pusat Islam Iskandar Johor di sini, semalam.

Mohamad Rahmat yang dinobatkan Anugerah Saudara Kita Lelaki sempena Sambutan Maal Hijrah 2018 negeri Johor berkata, dia juga menempuh pelbagai dugaan dan menganggapnya sebagai ujian ALLAH.

“Saya merantau ke Kuala Lumpur tanpa wang dan hanya tawakal pada waktu itu.

“Syukur saya berjumpa dengan keluarga angkat Islam, dari situ saya mula belajar tentang agama Islam dan memeluk Islam ketika itu saya baru berusia 19 tahun,” katanya.

Namun, beliau juga pernah berjanji dengan diri sendiri untuk tidak memutuskan hubungan keluarga biarpun selepas memeluk Islam.

Katanya, selepas 10 tahun dia mencari semula keluarga dan memberanikan diri bersemuka dengan mereka termasuk bapa, A Ramasamy dan ibu, K Kathyee.

“Kini saya rasa gembira dengan penganugerahan ini kerana ibu dan bapa saya sudi hadir bersama-sama meraikan majlis ini,” katanya yang kini giat dalam dakwah saudara baharu di rumah perlindungan Saudara Baru sekitar Johor Bahru.

Katanya, dalam keluarganya, hanya dia seorang yang memeluk Islam tetapi penerimaan keluarga kini lebih terbuka.

“Syukur kepada ALLAH kerana anugerah ini bukan untuk saya sahaja tetapi untuk penyatuan keluarga saya termasuk ibu bapa.

“Saya sangat gembira mereka sudi hadir bersama dalam majlis ini, tiada apa yang saya harapkan sebagai anak untuk melihat akhirnya nanti jika diizinkan ALLAH, kami bersama-sama menuju syurga,” katanya yang sudah mendirikan rumah tangga dengan Anizah Talib, 45, dan dikurniakan 11 anak.

Sementara itu, Ramasamy berkata, walaupun berlainan agama, dia gembira melihat kebahagiaan keluarga anaknya.

Katanya, dia dan isteri dengan rela hati menerima ajakan anaknya untuk bersama-sama meraikan majlis tersebut.

“Saya rasa gembira untuk anak dan keluarga mereka, semoga anak lebih berjaya pada masa akan datang,” katanya.