ISKANDAR PUTERI - Johor mencatatkan sebanyak 1,812 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dari Januari hingga hari ini.

Exco Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri, Dr Sahruddin Jamal berkata, jumlah berkenaan meningkat berbanding 1,505 kes sepanjang tahun lalu.

Menurutnya, statistik yang direkodkan juga menunjukkan Johor antara negeri yang tertinggi mencatatkan kes penyakit itu.

"Bagaimanapun, orang ramai dinasihati supaya tidak bimbang kerana penyakit yang biasanya dihidapi kanak-kanak di bawah umur 12 tahun ini mudah dirawat dan mudah baik.

"Salah satu faktor yang menjadi punca kepada penyakit virus ini adalah soal kebersihan dan ia mudah berjangkit.

"Maka, masyarakat, khususnya ibu bapa perlu peka. Sekiranya anak-anak ada mengalami simptom penyakit ini tidak penyakit tersebut, tidak perlu dihantar mereka ke sekolah atau taska dan kerjasama semua pihak amat perlu," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2017 dan Majlis Jasamu Dikenang 2018 serta Hari Inovasi 2018 Jabatan Pertanian negeri di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, semalam.

Hadir sama; Timbalan Pengarah Pertanian (Pembangunan) Jabatan Pertanian negeri, Azreen Basir dan Timbalan Pengarah Pertanian (Operasi) Jabatan Pertanian negeri, Norzita Hashim.

Dalam pada itu, Sahruddin berkata, kerajaan negeri sedang mengenalpasti lokasi yang berpotensi untuk membangunkan projek Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC).

"Untuk tahap pertama ini, kita akan memilih penternak. Kita ada 21 ladang satelit dan kemungkinan besar kita akan mulakan di ladang satelit dahulu.

"Kita akan teruskan kajian lanjut berikutan projek NFC sebelum ini, gagal dan kita tidak mahu perkara sama berulang," katanya ketika mengulas kenyataan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub berkenaan meminta jasa baik kerajaan negeri melihat status tanah di negeri ini untuk terlibat dengan projek NFC.