IPOH – Ubat-ubatan yang tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan termasuk ubat tradisional mengandungi risiko kepada manusia kerana dicampurkan dengan racun berjadual.

Ekoran daripada itu, sepasukan anggota Bahagian Penguat kuasa Farmasi (BPF) Perak telah melakukan serbuan di lima premis kedai ubatan tradisional sekitar Tasek di sini, kelmarin.

Menurut sumber BPF, hasil siasatan mendapati premis berkenaan turut menyimpan pelbagai ubatan tidak berdaftar.

“Apa yang dibimbangkan pemilik memiliki bahan kimia berasaskan steroid dipercayai diadun bersama produk lain untuk dijadikan ubat tahan sakit sendi.

“Berdasarkan ujian makmal, kandungan steroid yang sengaja diadun boleh memberi kesan sampingan termasuk meningkatkan tekanan darah tinggi, merosakkan buah pinggang hingga membawa kepada kematian,” katanya.

Katanya, BPF turut merampas beratus pil perancang keluarga yang dipercayai di seludup dari negara jiran seperti Thailand dan Indonesia.

“Ketika soal siasat, salah seorang pemilik premis berusia 50 an cuba memberi alasan kononnya pil perancang keluarga digunakan oleh isterinya.

Kita turut merampas ubat antibiotik, darah tinggi, ubat batuk dan selesema, ubat perangsang seks, kencing manis dan pelbagai ubat yang tidak didaftarkan dengan kementerian.

“Pemilik kedai disiasat mengikut Peraturan 7(1)(b) Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 serta Akta Racun 1952,” katanya.

Sementara itu, Ketua Cawangan Penguat kuasa Farmasi Perak, Ahmad Nozrin Taharin menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dalam memilih pusat rawatan tradisional dan jika terdapat sebarang keraguan, mereka dinasihatkan berhenti mengunjunginya serta membuat laporan kepada bahagian farmasi.