KOTA BHARU - Dua sahabat mengaku tidak bersalah di mahkamah sesyen, di sini, semalam atas tuduhan merogol seorang gadis berusia 15 tahun, dua tahun lalu.

Remaja berusia 18 tahun dan rakannya Nik Faiz Faisal Nik Azizi, 19, didakwa pada tuduhan berasingan masing-masing di hadapan Hakim, Mohd Yusoff Yunus.

Mereka didakwa merogol mangsa yang berusia 15 tahun tujuh bulan dengan tiada kerelaannya di sebuah rumah di Kampung Huda, Jalan Sultan Yahya Petra, di sini, jam 9.30 malam, 15 September 2012.

Kedua-dua mereka dituduh di bawah Seksyen 376(2)(d) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih daripada 30 tahun dan boleh juga dikenakan sebat, jika sabit bersalah.

Susulan penafian itu, mahkamah menetapkan 26 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes, sementara remaja berusia 18 tahun tersebut dibenarkan diikat jamin RM8,000, manakala Nik Faiz Faizal, RM10,000 dengan seorang penjamin.

Mohd Yusoff turut menetapkan syarat jaminan akan terbatal sekiranya terdapat aduan tertuduh mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Nor Hamizah Ghazali dan peguam bela, Mohd Shahruddin Mohamed.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :