• Disangka balak rupanya tongkang Ismail menunjukkan tongkang yang terbalik tersadai berhampiran Pantai Mempisang. Gambar kecil: Tongkang terbalik yang disangka kayu balak.
1 /

ROMPIN – Seorang penduduk di Pantai Mempisang, Kampung Jawa, di sini terkejut kerana melihat satu objek yang tersadai tidak jauh dari pantai yang pada awalnya disangka balak hanyut, tetapi rupanya sebuah tongkang terbalik.

Penduduk, Ismail Mat Taib, 66, berkata, dia percaya tongkang itu terbalik disebabkan ombak yang agak kuat.

“Tiga hari lalu saya meronda di pantai dengan menaiki motosikal sekitar jam 4 petang dan nampak satu objek yang besar di laut.

“Pada mulanya saya ingatkan ia kayu balak yang hanyut, tetapi bila dilihat dengan betul-betul, rupanya ia adalah tongkang,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, sehingga hari ini masih tiada mana-mana pihak yang tampil mengaku bahawa tongkang itu milik mereka.

“Ada juga penduduk kampung datang tengok, mereka melihat-lihat dari jauh jika  ada mangsa atau barang namun tidak menemui apa-apa,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail berkata, kejadian yang sama juga pernah berlaku lima tahun lalu dan ketika itu dua tongkang yang tersadai di pantai ini.

“Setiap hari ada penduduk yang datang untuk melihat tetapi tidak dapat menghampirinya kerana keadaan ombak yang kuat dan merbahaya.

“Setakat ini saya juga tidak membuat laporan polis mengenai penemuan tongkang ini, tetapi saya tidak pasti jika ada penduduk lain atau JKKK (Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung)  yang membuat laporan polis,” katanya.

Sementara itu Ibu Pejabat Polis Daerah Rompin ketika dihubungi masih belum menerima aduan daripada orang ramai berhubung penemuan tongkang terbalik tersebut.