• . .
1 /

KOTA BHARU - Dikir Barat, persembahan tradisional berbalas pantun dan puisi yang paling digemari masyarakat Melayu di  Kelantan, kian popular pada musim pilihan raya umum ke-13 ini dengan parti-parti politik menggunakan kaedah itu untuk menarik pengundi.

Sesuai dengan fungsinya sebagai wadah menyampaikan nasihat dan mesej, ia kini dijadikan pentas untuk membahaskan isu-isu  semasa dan membidas parti lawan melalui lagu-lagu dikir barat dalam dialek Kelantan pada kebanyakan program kempen dan siri ceramah yang diadakan.

Baik Umno mahu pun PAS, kedua-dua parti menggunakan kaedah sama, mengumpulkan kumpulan dikir barat dengan tukang karut  terbaik dan awak-awaknya untuk mendendangkan puisi kempen masing-masing. Penonton terhibur kerana dikir barat diiringi  dengan alat-alat muzik tradisional seperti rebana, maracas, canang dan gong.

Jika Umno Kelantan terkenal dengan lagu dikir "Bo La Wei", "Dikir Acu Test Sepenggal" dan "Dikir Dato Fatmi" , PAS juga tidak  kalah dengan lagu "Dikir Undi PAS" dan "Dikir Marilah Undi Bule" yang sering berkumandang dalam kempen di Kelantan ketika ini.

Secara tidak langsung ia mengangkat martabat anak seni seperti Allahyarham Zaidi Buluh Perindu, Mat Glamour, Man Khan, Cikgu  Sulizi, Jali Bunga Tanjung, Jen Endoro dan Eddie Hamid ke tahap yang lebih tinggi dengan mempercayai seni dikir barat  sesungguhnya mampu mempengaruhi rakyat menyokong parti politik tertentu.

Lebih menarik, kumpulan dikir barat ini juga menggunakan lagu-lagu saduran daripada Bollywood yang digubah semula dalam  loghat Kelantan untuk menjadikan kempen politik menghiburkan dan menarik audien yang ramai.

Langkah menggunakan lagu dikir barat itu sebenarnya tarikan kepada golongan muda juga untuk sama-sama menyertai perjuangan parti sehinggakan kini lagu-lagu dikir barat popular yang dirakamkan, menjadi siulan anak-anak muda.

Umno Kota Baharu dilihat lebih cemerlang menggunakan dikir barat dalam kempen mereka, menamakannya 'Persembahan Dikir  Barat Jelajah Janji Ditepati' dan berjaya menarik lebih 1,000 anak muda menghadiri majlis kempen mereka awal minggu ini.

Membariskan artis dikir barat seperti Cikgu Sulizi dan Jali Bunga Tanjung, majlis kempen itu ternyata memikat selera anak-anak  muda yang datang beramai-ramai dan turut bernyanyi bersama-sama Ketua Umno Bahagian Kota Baharu, Datuk Mohd Fatmi Che Salleh, lagu dikir popular Umno nyanyian Eddie Hamid 'Bo La Wei'.

Lagu itu menceritakan rintihan rakyat Kelantan yang tidak mahu lagi mengundi PAS kerana telah mengalami kesengsaraan tiada  bekalan air bersih dan pembalakan haram di Lojing yang tidak pernah selesai sejak PAS memerintah pada 1990.

Presiden Orang Muda Anti Korupsi (Ombak), Wan Khairul Ihsan Wan Muhammad berkata menggunakan lagu dan persembahan  dikir barat ternyata berjaya memikat  golongan muda.

"Lagu-lagu dikir barat ini ialah terjemahan apa yang rakyat Kelantan mahukan pada pilihan raya ini. Dikir barat ini sememangnya  tidak boleh lari daripada hati rakyat Kelantan," katanya.

"Saya lihat pada setiap program Umno dan Barisan Nasional (BN) ternyata lagu berkenaan yang dipasang sebelum dan selepas  program dapat dihayati mereka yang hadir dan menyanyikan lagu itu bersama-sama," katanya.

Wan Khairul Ihsan berkata PAS juga dilihat tidak mahu kalah dengan menyiarkan lagu-lagu dikir barat mereka pada ceramah PAS,  tidak lagi seperti lazimnya ayat-ayat Al-Quran diperdengarkan. 

"Mereka mahu menunjukkan mereka ini lebih Islam daripada Umno tetapi dalam masa yang sama tidak mahu ketinggalan dalam  mengejar rakyat untuk menyokong mereka," katanya.

Beliau berkata jika satu ketika dahulu PAS mengharamkan persembahan dikir barat itu tetapi kini mengakui ia sebenarnya satu  daripada senjata menarik pengundi.

"Ini double standard PAS. Matlamat menghalalkan cara dan akan menggunakan apa sahaja demi politik. Kalau dahulu ia haram  tetapi kini boleh. Kalau dahulu guna ayat Al-Quran kini boleh bawa masuk artis," katanya.

Seperti di Padang Istiadat, Jeli baru-baru ini, ceramah pembangkang yang dihadiri ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, lagu-lagu dikir barat yang memuji kerajaan negeri dan menghentam lawan  disiarkan.

Presiden Angkatan Generasi Melayu Muda (Agenda), Mohamad Zaidan Abdul Rahim berkata apa pun, mengadakan persembahan  dikir barat atau memutarkan lagu rakaman, mampu menarik audien untuk hadir terutama golongan muda.

Bagaimanapun beliau berkata lagu dikir barat bukanlah boleh dijadikan penanda aras sokongan sebenar rakyat kepada  mana-mana parti politik.

"Ia hanya mampu menarik lebih ramai rakyat menghadiri program kerana itu memang minat rakyat dan sokongan mereka hanya akan diterjemahkan pada kertas undi.

"Penggunaan lagu ini pada pendapat saya lebih sesuai terutama di Kelantan kerana ia juga dapat memartabatkan seni itu sendiri,"  katanya.

Zamri Abdul Wahab, 47, berkata beliau lebih suka dikir barat digunakan.

"Kadang kadang nampak tak sesuai bila perdengarkan  bacaan Al-Quran tetapi sebenarnya isi ceramah menghentam orang. Nampak tak kena kerana bagi saya, Al-Quran itu sepatutnya kita perdengarkan pada program dan majlis yang lebih sesuai, di tempat yang boleh menyatupadukan rakyat," katanya. - Bernama