• Anggota bomba dan penyelamat sedang memadam kebakaran, pagi semalam. Anggota bomba dan penyelamat sedang memadam kebakaran, pagi semalam.
1 /

BANDARAYA MELAKA - Tindakan seorang kanak-kanak membakar tisu dan kertas surat khabar membawa padah, apabila rumah dua tingkat didiami sebuah keluarga di Kampung Pengkalan Pantai, dekat sini, terbakar semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.45 pagi, Teng Tian Xian, 5, sedang menonton televisyen sebelum bertindak membakar tisu dan kertas surat khabar menggunakan pemetik api di ruang tamu.

Namun, tindakan pantasnya mengejutkan neneknya, Wong Ah Loy, 78, yang sedang tidur di bilik bahagian bawah berjaya menyelamatkan mereka dalam kebakaran yang memusnahkan keseluruhan rumah dua tingkat berkenaan.

Menurut Ah Loy, walaupun dalam keadaan kurang sihat, dia bergegas membawa cucunya keluar melalui pintu belakang.

"Walaupun tidak sempat menyelamatkan dokumen dan barang berharga kerana api terlalu marak, namun saya bersyukur saya dan cucu selamat," katanya memberitahu anak dan menantunya berniaga di pasar berhampiran ketika kejadian tersebut.

Sementara itu, jirannya, Zarah Jamal, 45, berkata, dia yang sedang mengecat almari pakaian di luar rumahnya terdengar Tian Xian menangis, sebelum melihat bahagian depan rumah jirannya itu terbakar.

“Saya menjerit 'api! api!' dan mengarahkan mereka keluar menyelamatkan diri dan pada masa sama saya menelefon pihak bomba untuk bantuan.

"Saya sempat menarik tangan makcik dan cucunya, namun tidak sempat menyelamatkan harta benda mereka kerana api menjulang tinggi," katanya.

Sementara itu, Noriah Yatim, 60, berkata, dia sedang lena tidur terkejut apabila mendengar jeritan jiran.

"Dalam keadaan mengantuk saya bangun dari tidur dan meraba-raba mencari pintu keluar kerana asap hitam menyelubungi ruang bilik. Dengan pantas saya menyelamatkan diri dan tergamam melihat api sedang marak di rumah sebelah," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu, Yazid Mohd Tahir berkata, tiga jentera membabitkan 15 anggota bergegas ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan.

“Ketika sampai di tempat kejadian, api sudah marak membakar keseluruhan rumah terbabit. Pada mulanya kami menghadapi kesukaran untuk menghampiri kawasan itu kerana terdapat kenderaan di kiri dan kanan jalan yang sempit.

“Bagaimanapun, api berjaya dikawal jam 11.10 pagi sebelum ia dapat dipadamkan sepenuhnya 20 minit kemudian. Kebakaran ini menyebabkan sebuah rumah musnah, manakala dua rumah lagi masing-masing 70 dan 20 peratus terjejas,” katanya.

Menurut Yazid, pihaknya masih menyiasat punca kebakaran dan jumlah kerugian dialami mangsa dalam kejadian berkenaan,” katanya.