| Kempen PerlembagaanKu: Wacana undang-undang sejagat
Oleh - Elviza Michele Kamal Semasa belajar di sekolah undang-undang dahulu, ada satu subjek yang kurang telus di otak penulis: Undang-Undang Perlembagaan. Pendek kata, payah benar untuk memahami susur-galur dan semangat di sebalik subjek tersebut. Pernah terjadi, semasa penulis berada di tahun pertama kuliah undang-undang, dua rakan sekelas telah dihalau keluar dari dewan syarahan kerana bercakap sesama sendiri semasa pelajaran sedang berjalan. Serius betul pensyarah Undang-Undang Perlembagaan kami itu. Walaupun kus semangat penulis mengenangkan kejadian pahit itu, penulis berpendapat bahawa peristiwa itu satu pendekatan yang terburu-buru dan rendah tahap psikologi di antara pensyarah dan pelajar. Sekiranya perkataan ‘Perlembagaan’ itu memerlukan putaran-semula di benak kita, ada beberapa peristiwa berwadahkan Perlembagaan yang boleh kita jadikan panduan: krisis kehakiman negara pada tahun 1988 yang telah menyaksikan Ketua Hakim Negara ketika itu, Tun Salleh Abas, dipecat dari badan kehakiman; klip video yang jelas menunjukkan seorang peguam sedang 'membroker' kenaikan pangkat seorang hakim; dan yang terbaru, peristiwa gegak gempita di dewan rakyat berebut Kerajaan Negeri Perak. Peristiwa-peristiwa ini berhubung rapat dengan isu Perlembagaan. Sehingga sekarang, walaupun sudah lewat sembilan tahun menjadi peguam, penulis tetap merasa terancam tatkala berdepan atau membaca apa-apa yang berkenaan dengan Perlembagaan. Nama subjek itu pun seolah boneka tidak berjiwa di telinga penulis. Jadi apabila seorang rakan seperjuangan, Edmund Bon, sekali lagi menghidangkan isu Perlembagaan, alahai� longlai rasa jari dan mata untuk menelaah kenyataan akhbar dan rangka tindakan Kempen PerlembagaanKu. Secara ringkasnya, Majlis Peguam Malaysia, telah menubuhkan Jawatankuasa Perlembagaan yang dipengerusikan oleh saudara Edmund Bon, juga seorang peguam dan aktivis kemasyarakatan. Dianggotai oleh perwakilan dari pelbagai bidang dan pengkhususan – tidak terhad kepada bidang guaman sahaja – Kempen PerlembagaanKu dilancarkan untuk kita mendalami erti kata Perlembagaan dan pengaruhnya dalam kehidupan seharian kita. Kempen yang ditujukan kepada semua rakyat Malaysia ini – dari pengarah syarikat dan penjawat awam sehinggalah kepada penjual nasi lemak di bahu jalan – berhasrat untuk: * Menggalakkan konsep keperlembagaan dan kedaulatan undang-undang yang adil; meningkatkan kesedaran, mendidik dan menguasakan rakyat mengenai peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan. * Mendokumentasi dan memberi respons terhadap isu-isu Perlembagaan yang timbul; membincangkan dan menganalisis keputusan-keputusan mahkamah berkaitan isu-isu Perlembagaan, dan apabila perlu, memberi interpretasi-interpretasi alternatif; * Menjalankan penyelidikan ke atas perkara-perkara berkaitan dengan Perlembagaan Persekutuan dan/atau Perlembagaan Negeri-Negeri, dan apabila perlu, mencadangkan pembaharuan Perlembagaan; membantu dan menasihati Majlis Peguam dalam perkara-perkara Perlembagaan. Kempen ini dirangka tamat dalam tempoh dua tahun di mana ahli jawatankuasa dan sukarelawan akan mempublikasikan buku kecil bersaiz kocek, The Rakyat Guides, yang merangkumi topik-topik utama dalam Perlembagaan Persekutuan; mengeluarkan siri, Public Service Advertisements, berkenaan dengan tema-tema berbeza dalam Perlembagaan Persekutuan; dan akhirnya, mereka akan melancarkan aturcara-aturcara untuk meningkatkan kesedaran Perlembagaan berbentuk seminar, dialog, forum dan syarahan. Apa yang penting, kempen ini akan meringkaskan isi-kandungan Perlembagaan Persekutuan yang agak kurang-mesra pembaca. Bukan sahaja kepada umum malahan peguam-peguam juga boleh terkial-kial untuk memahami inti pati Perlembagaan negara. Harapan mereka untuk membawa mesej kesedaran Perlembagaan kepada sekurang-kurangnya enam juta rakyat Malaysia di Semenanjung mahupun Sabah dan Sarawak harus dipuji. Kempen ini akan dirasmikan pada 13 November 2009, jam tiga petang. Dalam kata-kata Edmund: Acara ini dibuka kepada semua kanak-kanak, kakak-kakak, pakcik-pakcik, hatta pembantu rumah sekali pun dijemput hadir di Auditorium Majlis Peguam, Kuala Lumpur pada masa dan tarikh di atas. Watikah Perlembagaan Persekutuan amat mustahak kerana ianya mencorak aspek makro dan mikro urusan harian kita: bermula dari hak anda untuk bebas bergerak sehinggalah kepada pemilihan kerajaan untuk memerintah tanah bertuah ini. Tetapi penulis seorang yang skeptik, walaupun keluhuran niat kempen ini tidak boleh disangsikan lagi, penulis tidak rasa orang kita akan berlumba-lumba untuk mendidik diri dengan Perlembagaan. Lainlah kalau ada perlawanan bola sepak dan drama klise di televisyen, mungkin kita lebih berminat. Namun sekiranya kita menolak despotisme, kita impikan kerajaan yang saling-imbang, dan kita mengalu-alukan doktrin separation of powers di kalangan eksekutif, legislatif dan badan kehakiman: Kempen PerlembagaanKu adalah titik permulaan yang harus diberi keutamaan. Hak mutlak kita jangan sekali-kali kita perlekehkan. *Elviza Michele Kamal masih belum khatam membaca Perlembagaan Persekutuan. Beliau juga berblog di laman sesawang http://elviza.wordpress.com. |
Lain-lain Artikel:-
Tol percuma sempena Tahun Baru Cina
Enam sekeluarga rentung
Peguam Anwar mohon hakim baru bicara kes
Medan Pas dakwah UMNO
Nik Aziz perlu lebih istiqamah: Reezal
UMNO perlu berhati-hati ajakan pembangkang: Ahmad Zahid
Kerajaan akan aplikasi dasar Tenaga Hijau
“Rakyat kena akur” : Rais
Majikan tunjuk komitmen banteras Pati: Hishammuddin
SPRM tubuh unit khas siasat kes profil tinggi
Remaja didakwa bunuh bapa
Tiga penjawat awam didakwa
Konvoi ILuvIslam mula dekati pembaca IPT
Ketagihan seks jadi punca: Pakar
Penjawat awam perlu bijak manfaat laman sosial
Peratus majikan tidak mencarum menurun
Tol percuma sempena Tahun Baru Cina
Enam sekeluarga rentung
Peguam Anwar mohon hakim baru bicara kes
Medan Pas dakwah UMNO
Nik Aziz perlu lebih istiqamah: Reezal
UMNO perlu berhati-hati ajakan pembangkang: Ahmad Zahid
Kerajaan akan aplikasi dasar Tenaga Hijau
“Rakyat kena akur” : Rais
Majikan tunjuk komitmen banteras Pati: Hishammuddin
SPRM tubuh unit khas siasat kes profil tinggi
Remaja didakwa bunuh bapa
Tiga penjawat awam didakwa
Konvoi ILuvIslam mula dekati pembaca IPT
Ketagihan seks jadi punca: Pakar
Penjawat awam perlu bijak manfaat laman sosial
Peratus majikan tidak mencarum menurun








