Pengunjung : 1586 Selasa 9-2-2010 Daftar | Lupa ID/Password ID : Password:
Jais menghadap Sultan

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor meminta Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi membincangkan beberapa perkara yang melibatkan isu ceramah tanpa tauliah.

Menteri Besarnya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, pertemuan di antara beliau dan Exco Kerajaan Negeri dengan Pengarah Jais, Datuk Mohamed Khusrin Munawi, semalam, antara lain turut membincangkan mengenai penangkapan bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

“Keputusannya ialah kita telah berkongsi pengalaman dari segi cara-cara yang terbaik untuk mengendalikan isu-isu mereka yang membuat pendakwahan atau ceramah tanpa mendapat kelulusan atau tauliah daripada Kerajaan Negeri,” katanya pada sidang media, semalam.

Menurutnya, hasil daripada pertemuan dan perbincangan itu, terdapat beberapa perkara yang akan dipersetujui kedua-dua pihak.

“Oleh kerana penguasaan pentadbiran agama Islam di bawah Tuanku Sultan, kita telah meminta Jais untuk menghadap Tuanku Sultan supaya membincangkan perkara-perkara yang kita telah bangkitkan dan mendapat persetujuan supaya beberapa perkara dapat kita laksanakan,” katanya.

Abdul Khalid berkata, Kerajaan Negeri dan Jais perlu terus bekerjasama bagi mengelakkan kejadian yang sama berulang.

”Kita campur tangan (dalam hal ini) kerana Jais adalah satu daripada jabatan di bawah Kerajaan Negeri terutamanya dari segi operasinya. Dari segi kuasa untuk menguasai pentadbiran dan polisi-polisi mengenai agama Islam, ialah di bawah naungan Tuanku Sultan,” katanya.

Mengenai ketidakhadiran Mufti Selangor, Datuk Seri Mohd Tamyes Abdul Wahid dalam pertemuan semalam, Abdul Khalid berkata: ”Kita nak bercakap mengenai pentadbiran, bukannya dari segi apa interpretasi agama. Jadi kita berbincang mengenai pentadbiran. Umpamanya enakmen yang sudah diluluskan pada 2003.

“Kita mesti membincangkan mengenai operasi mengikut lunas enakmen, kedua, kita juga akan membincangkan mengenai kesan enakmen itu ke atas usaha yang akan dilakukan dan :keputusan yang diambil oleh kedua-dua pihak perlu dimaklumkan kepada Tuanku Sultan,” katanya.

Sinar Harian difahamkan bahawa ketidakhadiran mufti itu disebabkan Sultan Selangor bertitah bahawa mufti tidak perlu hadir dalam pertemuan itu.

Dalam pada itu, Abdul Khalid berkata, tangkapan yang dilakukan oleh Jais terhadap Dr Mohd Asri adalah berdasarkan enakmen yang sudah diluluskan.

“Jais mempunyai kuasa, mereka tidak memerlukan waran tangkap, itu hak mereka,” katanya.

Mengulas mengenai Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abd Samad yang membacakan khutbah Jumaat tanpa tauliah, Abdul Khalid berkata: “Kami sedang dalam perbincangan dengan Jais, jadi kita tidak mahu memberikan apa-apa kenyataan, cuma kami mahu memastikan bahawa pentadbiran agama Islam di negeri ini efektif dan efisien.

“Proses ini akan mengambil sedikit masa, sebab itu kita tidak membuat sebarang kenyataan tanpa kajian menyeluruh,” katanya.