|
KL-Jakarta : Tiada kasih yang hilang
Oleh - ELVIZA MICHELE KAMALA Penulis tidak pernah terlintas untuk berkunjung ke Jakarta yang terkenal dengan kesesakan lalu lintas tegar – 'macet'– kata penduduk kota itu. Hati juga tidak pernah teruja untuk berbelanja habis-habisan di syurga membeli-belah Indonesia: Tanah Abang dan Kota Bandung. Lain pula kisahnya dengan ibu dan ibu mertua penulis, setiap tahun mereka mesti mencari alasan untuk terbang ke Jakarta dan Bandung. Murah, kata mereka. Namun apabila terkenangkan puputan ombak Lautan Hindi tatkala pesawat terbang rendah untuk mendarat di landasan lapangan terbang Ngurah Rai, Denpasar, hati jadi tidak keruan. Persis kekasih yang sedang kasmaran! Dinobat sebagai 'Island of God' oleh pengembara berpengalaman, Bali juga menjadi rumah kepada ribuan insan kreatif dari seantero Asia Tenggara. Lukisan dan kraf tangan yang dipamerkan di Pasar Ubud bukan calang-calang nilai seninya. Begitu juga apabila penulis teringatkan kota pelabuhan Padang, Sumatera Barat. Tempat dipentaskan kisah Siti Nurbaya dan Samsul Bahri; ketulusan cinta mereka telah didalangi oleh Dato’ Marringih. Siti Nurbaya, novel klasik karya pena Marah Roesli itu telah mengangkat martabat sastera bahasa Melayu di persada dunia apabila ianya turut diterjemahkan ke dalam bahasa Rusia. Padang juga hanya beberapa jam jaraknya jika berkereta untuk sampai di Bukit Tinggi, tanah asal susur-galur adat Minangkabau; juga tempat lahir ikon-ikon sastera Melayu klasik seperti Pak Hamka, Ali Akbar Nais dan Abdul Moies. Sesungguhnya daerah Padang dan Pulau Bali adalah anugerah tuhan kepada Indonesia. Kepingin sekali ingin terus tinggal saja di sana untuk terus berkarya seni. Walaupun Malaysia dikurniakan struktur muka bumi dan genggaman ekonomi yang lebih kukuh dari Indonesia, mereka jauh lebih berpengalaman jika dibandingkan dengan kita dari sudut kemantapan sastera mahupun perkembangan muzik dan seni. Lagu-lagu kontemporari garapan komposer Indonesia juga lebih bagus bunyinya di telinga penulis – maaf ini sekadar pendapat peribadi saya. Perbezaan di antara Malaysia dan Indonesia tidak terhad kepada ekonomi, batasan geografi dan seni sahaja. Baru-baru ini, dunia sesawang negara – tidak ketinggalan portal sosial seperti Facebook dan Twitter – berantakan dengan isu segelintir rakyat Indonesia yang ingin ‘mengganyang’ Malaysia; mereka menggelarkan diri mereka sebagai 'Benteng Demokrasi Rakyat' (Bendera). Api amarah Bendera merebak tanpa kawalan apabila dikipas dengan isu perkahwinan (perceraian?) di antara Manohara Odelia Pinot dan Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry; isu pembantu-pembantu rumah Indonesia yang didera oleh majikan mereka; isu tarian Pendet yang diakui milik kita oleh sesetengah stesen TV antarabangsa yang tidak cukup membaca dan pertelingkahan hak milik bertindih kawasan maritim Ambalat. Menyentuh tentang isu tarian Pendet itu, eloklah kalau kita lupakan sahaja. Discovery Channel yang bermarkas di Singapura, melalui emelnya kepada Ditrjen Nilai Budaya Seni dan Film (NBSF) Indonesia, mengakui bahawa staf promosi stesen tersebut telah terkhilaf tentang hak milik asal tarian Pendet tersebut. Dan sekiranya diplomasi gagal untuk menyelesaikan isu Ambalat, panahkan sahaja masalah itu kepada The Hague. Jakarta pula jangan cepat melatah dengan isu-isu begini. Harus penulis titipkan di sini bahawa jutaan wang ringgit dialir kembali ke Indonesia atas nama pelancongan dan peluang pekerjaan di antara kedua negara. Apabila Indonesia dilanda bencana juga, kita tidak pernah berlengah untuk menolong dari segi kewangan dan tenaga manusia. Kita ini serumpun: rambut sama hitam, kulit sama coklat, bahasa sama lunak. Dicubit paha kanan, paha kiri terasa. Sedikit sebanyak jangan dikira, kelak ditertawa anak-cucu kita. *Elviza Michele Kamal sering terkenangkan arwah ayah mendendangkan lagu 'Bengawan Solo' dengan gitar kapuk. Milik siapa lagu itu? |
Lain-lain Artikel:-
Tol percuma sempena Tahun Baru Cina
Enam sekeluarga rentung
Peguam Anwar mohon hakim baru bicara kes
Medan Pas dakwah UMNO
Nik Aziz perlu lebih istiqamah: Reezal
UMNO perlu berhati-hati ajakan pembangkang: Ahmad Zahid
Kerajaan akan aplikasi dasar Tenaga Hijau
“Rakyat kena akur” : Rais
Majikan tunjuk komitmen banteras Pati: Hishammuddin
SPRM tubuh unit khas siasat kes profil tinggi
Remaja didakwa bunuh bapa
Tiga penjawat awam didakwa
Konvoi ILuvIslam mula dekati pembaca IPT
Ketagihan seks jadi punca: Pakar
Penjawat awam perlu bijak manfaat laman sosial
Peratus majikan tidak mencarum menurun
Tol percuma sempena Tahun Baru Cina
Enam sekeluarga rentung
Peguam Anwar mohon hakim baru bicara kes
Medan Pas dakwah UMNO
Nik Aziz perlu lebih istiqamah: Reezal
UMNO perlu berhati-hati ajakan pembangkang: Ahmad Zahid
Kerajaan akan aplikasi dasar Tenaga Hijau
“Rakyat kena akur” : Rais
Majikan tunjuk komitmen banteras Pati: Hishammuddin
SPRM tubuh unit khas siasat kes profil tinggi
Remaja didakwa bunuh bapa
Tiga penjawat awam didakwa
Konvoi ILuvIslam mula dekati pembaca IPT
Ketagihan seks jadi punca: Pakar
Penjawat awam perlu bijak manfaat laman sosial
Peratus majikan tidak mencarum menurun







