Pengunjung : 1597 Selasa 9-2-2010 Daftar | Lupa ID/Password ID : Password:
Ikut suara muktamar, bukan individu

SHAH ALAM - Bukan mudah ‘buang pemimpin bermasalah’ dalam sesebuah parti kerana keputusan itu perlu dibuat berdasarkan suara muktamar dan bukannya suara seseorang individu, demikian tegas veteran Pas, Datuk Wan Abdul Muttalib Embong.

Bekas Penasihat Undang-undang Pas itu berkata, sebarang masalah atau ketidakpuasan yang timbul dalam parti tidak seharusnya mencapai tahap membuang pemimpin bermasalah.

Menurutnya, Pas miliki Jawatankuasa Pas Pusat, ini bermakna kewajaran mengadakan perbincangan perlu didahulukan.

“Selain jawatankuasa ini, kita juga ada Jawatankuasa Disiplin. Jika nak pecat pemimpin bermasalah, jawatankuasa inilah yang bertanggungjawab,” katanya.

Beliau yang juga bekas Timbalan Pesuruhjaya Pas Terengganu berkata, apa yang berlaku dalam Pas sekarang bukanlah ‘krisis dalaman yang kritikal’.

Katanya, Pas kini hanya berdepan dengan pemimpin yang berhadapan perbezaan pendapat.

“Kalau nak kata krisis, krisis lebih terarah kepada perebutan jawatan, rasuah dan banyak lagi. Tapi ini bukan krisis, ia hanyalah pandangan daripada Menteri Besar Kelantan yang mahu menyelesaikan beberapa isu dalam kadar segera," katanya.

Mengulas beberapa pemimpin UMNO yang memberi pelbagai reaksi negatif terhadap isu itu, beliau berkata, reaksi itu mempunyai maksud tertentu.

“Mereka bagi pelbagai reaksi untuk mengalihkan tanggapan rakyat terhadap parti mereka.

“Jika sebelum ini rakyat disogokkan pelbagai unsur negatif terhadap UMNO, jadi inilah masa sesuai untuk mereka memberi reaksi yang menampakkan Pas berhadapan masalah besar," katanya.