Pengunjung : 1461 Selasa 9-2-2010 Daftar | Lupa ID/Password ID : Password:
"Saya tidak berasa hati dengan Nik Aziz"

KUALA LUMPUR - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, beliau tidak pernah 'berasa hati' dengan kenyataan Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menyifatkan beliau antara 'tiga kerat pemimpin bermasalah dalam parti'.

"Saya tidak pernah berasa hati dengan beliau. Isu itu tidak seharusnya diperbesar-besarkan oleh mana-mana pihak kerana hanya melibatkan hal dalaman parti yang boleh diselesaikan secara musyawarah," katanya ketika ditemui di Lobi Parlimen, semalam

Ahli Parlimen Marang itu juga berkata, semua pihak juga tidak harus membuat sebarang spekulasi mengenai keputusan sama ada parti itu akan mengadakan Muktamar Agung Khas (EGM) atau tidak.

Katanya, beliau mahu semua pihak menunggu keputusan mesyuarat Khas yang akan diadakan esok bagi membincangkan isu cadangan Nik Aziz itu.

“Saya tidak mahu komen lagi, anda semua boleh ambil kenyataan saya dalam media sebelum ini. Buat sementara waktu ini kita tunggu sahaja keputusan Mesyuarat Khas Rabu ini,” katanya.

Jumaat lepas, Nik Aziz dalam blognya, www.bloktokguru.com mencadangkan supaya EGM diadakan bagi menukar ‘dua tiga kerat’ pemimpin parti itu yang bermasalah bagi membersihkan parti daripada golongan pro-kerajaan perpaduan antara Pas dan UMNO yang bertentangan keputusan Muktamar Pas Jun lalu.

Di antara mereka yang beliau kenalpasti sebagai pemimpin bermasalah itu ialah Abdul Hadi sendiri, Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali, Timbalan Presiden, Nasharuddin Mat Isa dan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali.

Ketika ditanya adakah Nik Aziz akan hadir dalam Mesyuarat tersebut, Abdul Hadi berkata, Pas sememangnya akan menjemput Mursyidul Am untuk hadir di Mesyuarat Khas itu nanti.

Beliau berkata, kemelut dalaman yang sedang dihadapi Pas perlu diselesaikan secara musyawarah dan bukannya menerusi penggunaan media massa atau media baru.

Menurutnya, pendekatan musyawarah dengan berpegang kepada budaya dan panduan yang menjadi pegangan Pas sewajarnya dipilih, sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan parti.