MENYUSULI kejayaan ‘Kampung Girl’, slot drama TV3 Zehra kembali mempersembahkan sebuah drama bersiri yang penuh misteri, Menjinak Ombak bermula 6 Disember, setiap hari Jumaat jam 9.00 malam.

Memaparkan kisah cinta penuh tragedi berdasarkan cinta tiga segi antara tiga jejaka yang merebut cinta seorang gadis sunti iaitu anak kepada seorang Imam yang begitu patuh pada pegangan agamanya.

Malah, setiap jejaka itu menyimpan rahsia  misteri. Oleh kerana sikap yang terlalu taksub dan tamak, ada di antara jejaka itu sanggup hidup dengan bertopengkan agama serta membuat hukuman sendiri dengan melakukan pembunuhan demi menutup pekong di dada!

Menurut Along, drama tersebut berkisar kisah hidup seorang pemuda yang terlalu taksub dengan ajaran Islam sehingga sanggup belajar ke luar negara iaitu Pakistan.

"Akibat tersalah pilih ajaran, pemuda itu melakukan perkara di luar imaginasi sehingga penonton tidak dapat menjangkakan apa yang berlaku. Saya berani jamin penonton berpuas hati dengan drama ini kerana ia bukan sahaja menerapkan kisah percintaan tetapi elemen kejutan dalam jalan cerita ini.

"Mesej yang disampaikan juga berguna dijadikan panduan dan pengajaran mereka di luar sana supaya tidak tertipu dengan penampilan seseorang," katanya yang mengambil masa 45 hari untuk menyiapkan penggambaran di sekitar Banting, Kuala Lumpur dan Pulau Pangkor.

Drama bersiri 13 episod terbitan Eurofine Studios Sdn Bhd ini diarahkan oleh Along Kamaruddin, nukilan skrip Azlan Din dan dibarisi pelakon popular seperti Shukri Yahya (Firhad), Fezrul Khan (Tengku Fatah), Risteena (Syakinah), Talha Harith (Asyraf) dan ramai lagi.

Suka cabaran

Ditanya mengenai barisan muka baharu yang membintangi drama tersebut, dia menegaskan bahawa pelakon baru naik lebih mudah dibentuk berbanding pelakon lama.

"Jika kita mahu membentuk seseorang itu harus bermula dari awal dan ia menjadi salah satu sebab saya memilih pelakon baharu. Berbanding pelakon sedia ada, mereka lebih banyak karenah dan sukar untuk mengubah identiti mereka kepada perkara baharu.

"Lagipun saya sukakan cabaran, salah satunya memilih pelakon baharu sebagai teraju utama lebih mengujakan," katanya.

Bukan itu sahaja, katanya mereka juga mudah diajar dan tidak mengehadkan kredibiliti sebagai pelakon.

"Mereka mungkin sukar memberi ekspresi muka dan emosi yang kita mahukan. Tetapi mereka tidak lokek bertanya jika susah untuk melakukannya. Bagi saya ia perkara menarik dan saya suka menaikkan nama pelakon baharu supaya orang luar menghargai kesungguhan mereka," katanya.

Sabung nyawa demi kerja

Bercerita mengenai pengalaman perit yang dilalui ketika penggambaran di tengah laut berhampiran Pulau Pangkor, Perak, Along berkata kru produksi terpaksa menyabung nyawa demi kerja.

Walaupun berhadapan dengan saat getir, katanya ia adalah satu pengalaman yang tidak akan dilupakan seumur hidup.

"Bayangkan kami perlu keluar seawal jam 7 pagi mengharungi ombak yang mengganas Kemudian jam 2 hingga 3 pagi baru tiba di daratan benar-benar menguji kesabaran.

"Biarpun bergelut dengan keadaan ini, kami masih meneruskan kerja supaya suasana sama seperti dalam skrip," katanya.

Tambahnya, selain terpaksa mengharungi lautan luas yang mengundang bahaya, namun dia sangat berpuas hati dengan hasilnya.