KALAU suatu ketika dahulu Perak boleh berbangga dengan P Ravindran yang terkenal dengan jolokan ‘Kinta Ekspres’, Kelantan juga tidak kurang hebat apabila pemain sayapnya, S Chanturu turut dipanggil dengan gelaran ‘Kelantan Ekspres’.

Larian pantas Chanturu seumpama lipas kudung selain kemampuannya meledakkan jaringan menerusi jarak jauh menjadi pakej kepada pemain yang berasal dari Padang Serai, Kulim itu
sinonim dengan gelaran tersebut.

Menceritakan bagaimana gelaran ‘Kelantan Ekspres’ melekat kepadanya, Chanturu sendiri pun tidak tahu bagaimana gelaran tersebut diberikan oleh penyokong The Red Warriors sejak
dua tahun lalu.

“Saya dahulu bermain selaku ‘back-up striker’. Ketika bermain dengan Kelantan pada 2010, Ketua Jurulatih B Sathianathan meletakkan saya bermain di posisi sayap kanan. Mungkin peminat melihat larian pantas, aksi ‘robust’ dan kemampuan mengelecek pemain lawan, menyebabkan gelaran tersebut diberikan kepada saya.

“Terima kasih kepada penyokong Kelantan di atas gelaran ini. Saya menghargainya dan perlu membalas dengan memberikan kejayaan istimewa dan salah satunya ialah Piala FA yang
baharu kita menangi tempohari,” katanya ketika memulakan bicara secara santai.

Anak kedua daripada empat adik beradik itu berkata, beliau mula mengasah bakat dalam sukan bola sepak apabila terpilih menyertai sekolah sukan di daerahnya namun jodohnya berakhir sehingga tingkatan tiga sahaja.

“Siapa yang main bagus akan dihantar ke Sekolah Sukan Bukit Jalil. Namun bukan rezeki saya, tidak terpilih kerana selalu berada di bangku simpanan.Selepas itu, saya kembali ke sekolah biasa bagi menyambung pelajaran. Keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) saya pula tidak berapa memuaskan.

“Kemudian, saya terpilih mewakili skuad Piala Presiden TM Melaka pada 2007. Pada tahun berikutnya, sayamenyarung jersi skuad Piala Presiden Kuala Lumpur. Selepas itu, saya mencuba nasib bersama skuad senior Kuala Lumpur, KL Plus FC dan KL Felda United FC namun tidak berjaya.

Menurut Chanturu, kegagalan tersebut menyebabkan beliau mengambil keputusan untuk pulang ke kampung halaman dan lebih perit terpaksa menganggur selama empat bulan pada
ketika itu.

“Sekitar awal 2009, saya bermain dengan kelab Waterfall Rangers FC yang beraksi dalam Liga Divisyen bola sepak Pulau Pinang. Saya bermain dengan kelab tersebut selama tiga bulan sebelum jurulatih, Magen menyarankan agar mencuba nasib bersama skuad senior Pulau Pinang di bawah kendalian S Veloo untuk kempen Piala Malaysia tahun tersebut.

“Saya terpilih bermain dan menjaringkan satu gol ketika Pulau Pinang tewas 1-3 kepada Kelantan di Kota Bharu. Selepas kontrak dengan Pulau Pinang berakhir, jurulatih Kelantan ketika itu (B Sathianathan) menawarkan kontrak kepada saya untuk beraksi dengan The Red Warriors pada musim berikutnya.

Tuah mengiringi Chanturu apabila mencipta nama bukan di negeri asal sebaliknya bersama Kelantan. Malah aksi cemerlang Chanturu bersama pasukan ini juga menarik minat Datuk K Rajagobal memanggil beliau untuk menyarung jersi skuad kebangsaan.


“Saya gembira bermain dengan Kelantan. Rakan-rakan sepasukan termasuk Piya (Mohd Badhri Radzi), Mohd Shakir (Shaari) dan Indra Putra (Mahayuddin) rapat dengan saya. Sebelum ini memang saya tidak mahu datang ke sini, tambahan pula keluarga tidak benarkan kerana jauh dengan kampung halaman,” katanya yang turut menggemari nasi kukus resepi Kelantan.


Nama: S Chanturu
Tarikh lahir : 14 Disember 1987
Umur : 25 tahun
Asal : Padang Serai, Kulim, Kedah
Posisi : Sayap kanan
Nombor jersi : 23
Status : Bujang
Pendidikan : STPM

KARIER SELAKU PEMAIN
2007 - Skuad Piala Presiden TM Melaka
2008 - Skuad Piala Presiden Kuala Lumpur
2009 - Waterfall Ranger FC (Liga Divisyen Pulau Pinang - 3 bulan)
         - Skuad Pulau Pinang (Piala Malaysia)
2010 - sekarang - Liga Super Kelantan

PENCAPAIAN SELAKU PEMAIN
2010 - Naib Juara Liga Super
         - Juara Piala Malaysia
2011 - Juara Piala Sultan Ahmad Shah
         - Naib Juara Piala FA
         - Juara Liga Super
2012 - Naib Juara Piala Sultan Ahmad Shah Juara Piala FA

PENCAPAIAN SELAKU PEMAIN KEBANGSAAN
2010 - Skuad bawah 23 tahun Malaysia
2012 - Skuad senior kebangsaan