SIAPA menjadikan aku? Dari mana datangnya kewujudanku? Siapa menciptakan bukit-bukau, gunung-ganang, langit, alam semester ini? Arghhh... Kenapa perasaan ini yang aku rasa tanpa tahu jawapannya?

"You tak nak masuk syurga ke?"

Persoalan ini lebih menyentap jiwaku. Sebaris pertanyaan ringkas dilontarkan sahabatku sejak zaman di bangku sekolah itu masih terngiang-ngiang dan ku ingati hingga hari ini. Ketika itu aku masih tidak faham apakah 'petanda' itu.

Namun benarlah ALLAH itu Maha Mendengar..... syukur Kau bukakan pintu hatiku untuk menerima hidayahMu sebelum menghembuskan nafas terakhirku di dunia ini ya Tuhan...

"Saya tak tahu kenapa, tapi masa tu saya sering menyendiri, termenung dan suka tengok langit, fikir apa patut saya buat di dunia ini, saya ni datang dari mana, gunung ni macam mana jadinya.

"Terlalu banyak persoalan. Saya fikirkan kenapa ada pelbagai kewujudan di dunia ini, sering ada rasa tertanya-tanya. Masa tu belum berfikir tentang Tuhan. Persoalan tersebut habis macam tu saja masa masih di sekolah menengah ketika itu."

Itu kongsi sukarelawan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Siti Sarah Selvarani Abdullah, 41, yang bergiat aktif bidang kesukarelawan terutama dalam berdepan kes-kes mualaf sejak dua tahun lalu.

Menarik kisahnya, dek berlatarbelakangkan keluarga beragama Hindu, dia hanya mula tahu mengenai Islam sejak masuk ke sekolah menengah dan mengenali dengan rakan berbangsa lain.

"Masa belajar, saya suka kawan dengan orang Melayu Islam. Biarpun saya suka menyendiri, saya seorang humble, bila ada pelajar baru masuk saya rasa kasihan dan tegur. Lepas itu barulah saya ada dua tiga kawan yang saya ingat hingga sekarang.   

"Ada antara kawan tu tanya saya 'You tak nak masuk syurga ke?' Itu saja dia tanya dan tegur. Masa tu saya tak faham. Persoalan itu buat saya makin suka termenung memikirkannya," cerita wanita berasal dari Bahau, Negeri Sembilan ini.

Persoalan terjawab

Ada peristiwa pahit berlaku selepas tamat sekolah menengah hingga perkara itu menjadi asbab Siti Sarah makin dekat dengan Islam. Insiden berlaku menyebabkan dia mengambil keputusan berhijrah ke Selangor pada tahun 1998.

Tidak mahu mengingatinya lagi, dia mengambil keputusan berhijrah tersebut.

Benarlah kasih sayang ibu bapa tidak berbelah bahagi, demi menyokong keputusan anak tersayang, R Vijayalatmi, 65, dan V Rajagobal, 68, bersama anak-anak lain sanggup turut berpindah ke Kajang demi mengubah kehidupan lebih baik untuk Siti Sarah atau nama asalnya R Selvarani.

"Lepas peristiwa tu saya dah tak mahu tinggal di Bahau. Asalnya saya nak hijrah sendiri, tapi disebabkan saya seorang, satu famili berpindah ke sini. Ayah cakap anak perempuan tak boleh dibiarkan. Kami pindah di Bandar Teknologi Kajang.

"Ketika bekerja di Selangor, dalam tahun 1999 saya kenal dengan suami, Sulaiman Musukutty, 41, dan berkahwin. Asalnya saya tak tahu suami ni orang Islam. Bila dah suka, kami berkahwin.

"Suami sebab saya masuk Islam. Mulanya rasa terpaksa sebab mahu berkahwin.. tapi saya tetap ucapkan syahadah. Masa tu saya tak tahu apa-apa sebab tak ada yang didik. Benarlah kadang-kadang seseorang itu dapat hidayah melalui perkahwinan," kata anak ketiga dari lima beradik ini.
 

Bersama ibu, bapa dan anak.

Ibu bapa penyokong kuat

Tahun-tahun awal perkahwinannya Siti Sarah sibuk menguruskan keluarga dan anak-anak. Hingga selepas melahirkan anak ketiga, barulah tiba-tiba terdetik di hatinya untuk mencari dan mendalami agama Islam.

Tidak menyalahkan suami yang kurang dapat membimbing disebabkan Sulaiman sendiri sudah bergelar anak yatim piatu sejak dirinya masih kecil.

"Suami tak kisah, sentiasa izinkan saya pergi belajar agama biarpun mulanya saya belajar sendiri melalui buku. Saya masih ingat mula belajar baca al-Fatihah, saya ikut mana budak-budak mengaji. Ada ustazah ajar, dia dengar dan betulkan, saya hafal dengan rumi. Masa tu saya tak kerja.

"Entah bagaimana kuasa ALLAH, lepas anak ketiga macam-macam saya nak tahu dan nak timba ilmu. Tak tahulah, walaupun tak pandai baca doa, setiap benda saya nak buat, saya akan sebut bismillah, ALLAH lorongkan saya dapat ilmu. Berkat bismillah," cerita ibu kepada empat cahaya mata ini.

Tidak semudah disangka, pelbagai pengalaman pahit manis dalam usaha Siti Sarah mencari cahaya Ilahi.

Tiada bimbingan dan tidak tahu arah tuju untuk mendapatkan ilmu ketika itu menyebabkannya hanya bergantung harap dengan ilmu melalui pembacaan dan menonton kuliah agama di televisyen.  

"Dulu mualaf susah dapat bimbingan saya pun mulanya tak tahu kaedahnya. Sampai pakai tudung pun mula belajar sendiri, dengan tudung kecil sampai labuh.

"Sebenarnya ada insiden berlaku pada 2008, suami saya kena strok. Gaji suami ada lebihan RM400 saja dengan kerja di bahagian operator kilang ketika itu, dah ada dua anak... nak bayar sewa pun tak mampu.

"Masa tu tak ada sumber pendapatan. Saya kuatkan diri kerja balik dan mula keluar cari bantuan. Masa itulah baru saya tahu ada kelas untuk mualaf," katanya.

Menyertai kelas bimbingan untuk mualaf di Hulu Langat pada 2010, tiga tahun Siti Sarah belajar di situ, walaupun menuntutnya meninggalkan anak-anak yang masih kecil dengan ibu bapanya.

Ketika itu, dia berasa lebih dekat dengan-Nya dan lebih mengharukan perasaannya, baharu disedari persoalan bermain di mindanya semenjak zaman remajanya dahulu kini sudah ada jawapannya.

Pujuk suami

Awalnya bapanya enggan bercakap dengannya selepas Siti Sarah memeluk Islam, namun percaya dek akhlak sendiri berubah menyebabkan mereka lembut hati.

Buktinya pada 2012, ketika berhasrat menuntut di Pusat Bimbingan dan Latihan Saudara Baru (Pusba) di Kedah, ibu bapanya sendiri memujuk suaminya membenarkannya belajar di situ selama empat bulan sepenuh masa, biarpun pada mulanya Sulaiman agak keberatan.

"Akhirnya suami benarkan saya pergi. Masa tu rasa pentingkan diri sendiri juga bila saya hantar tiga-tiga anak ke asrama tahfiz untuk belajar. Saya tak mahu susahkan mak ayah walaupun mereka boleh jaga.

"Bila balik ke Selangor dalam dua ke tiga bulan, saya nak sambung belajar pula di Institut Latihan Dakwah, Jais, Sabak Bernam selama setahun dua bulan untuk dapat tauliah pendakwah. Itu pun mulanya suami tak bagi, tapi mak ayah pujuk.

"Walaupun belum Islam, mereka nampak perubahan dalam diri saya. Mak ayah yang sentiasa beri galakan dan motivasi untuk saya maju dan sambung belajar lagi, nasib baik suami beri.

"Terima kasih juga semua membimbing dan mengajar saya hingga hari ini," katanya.

Menariknya setiap kali azan, ibu dan ayahnya sendiri menyuruh anak-anaknya untuk solat.

Rezekinya selepas tamat belajar dan bersalin anak keempat, pada 2015 dia mula menjadi guru bertauliah mengajar di Mais.

Juga Panel Dakwah Mualaf Mais (menjaga kebajikan mualaf), kini masuk tahun keempat dia mengajar di Pusat Pendidikan Mualaf, Kajang, sikapnya suka menuntut ilmu tidak terhenti.

"Tapi ada kekangan sambung belajar lagi, jadi saya fikir lebih baik join program sukarelawan Jais. Jadi bermula tahun lepas, saya mula aktif di situ.

"Sebagai sukarelawan, saya sertai apa saja program Jais. Jika tidak saya uruskan kelas mualaf dalam sebulan 15 kali dan jadi panel penasihat di Jabatan Mufti Selangor untuk bantu handle kes mualaf," katanya.  

Cuba mengelak persepsi mualaf hanya suka meminta-minta, Siti Sarah percaya hanya dengan berniaga dapat mengubah nasib, justeru dia menggunakan perniagaan kesihatan dan kecantikan dijalankannya iaitu garam bukit terapi dan minyak aromaterapi untuk membantu orang lain.

Melalui kelebihan sebagai konsultan terapi dengan pergi ke merata lokasi, kursus, seminar, dia berniaga sambil membantu.

"Saya buat produk, tapi saya bagi rasa saja, penenang. Niat buat bisnes, dari bagi dana, sayalah keluarkan bisnes untuk jana dana dan bantu ramai di luar sana.

"Banyak keluar, pulangan belum nampak. Cuma kita niat sedekah dan bagi orang happy," katanya.

Dalam pada itu, Siti Sarah turut memberi nasihat buat mualaf, iaitu untuk mendapat hidayah bukan mudah, kadang-kadang dengan usaha baharulah menerimanya.

"Jangan hanya tanya apa Islam dah buat  untuk diri kita, tapi sebagai orang Islam, apa kita dah buat untuk Islam.

"Itu yang kena betulkan. Maksudnya kenali diri dulu, siapa pencipta? Bila kita tahu dua benda ini, barulah kita sedar kenapa kita dilahirkan," katanya.