PIHAK Yayasan Dana Kebajikan Muslim Malaysia (YDKMM) meneruskan usaha memperkasakan golongan muda.

Terbaharu YDKMM Mesir menyatakan kesediaan memberikan bantuan kepada pihak Education Malaysia Egypt (EME) dalam bekerjasama membantu para penuntut Malaysia yang berada di Mesir dari sudut akademik dan kemahiran insaniah.

Ia dinyatakan semasa kunjungan hormat Timbalan Pengerusi YDKMM Sabah, Ghafur Rahim Mustakim bersama wakil YDKMM Mesir, dan Delegasi YDKMM dari Malaysia di Dewan Malaysia Abbasiah Kaherah ke EME, baru-baru ini.

Antara delegasi terlibat dalam program itu ialah Pengasas dan Penasihat Utama Yayasan Dana Kebajikan Muslim Malaysia (YDKMM), Dr Mohd Hizul Azri Md Noor; Ketua Unit Pembangunan Sumber Manusia YDKMM,

Nursyakinah Saad dan Ketua Unit Pembangunan Modal Insan Sekolah, Nurhafezzah Hussin.

Turut bersama ahli jawatankuasa tertinggi YDKMM Mesir, Pengerusi, Muhammad Haziq Iqbal Azero; Timbalan Pengerusi YDKMM Mesir, Nur Fatin Abdul Rahman; Setiausaha, Noor Amirah Huda Ahmad Mahmod dan Bendahari, Siti Nur Nazihah Che Ab Rahim.

Tujuan pertemuan ini diadakan adalah untuk mengeratkan silaturahim bersama Menteri Penasihat (Pendidikan), Aizal Anual, dan Setiausaha Kanan Pendidikan EME, Rahmat Abdullah sekali gus mengeratkan hubungan EME dan YDKMM Mesir serta delegasi YDKMM Malaysia.

Beberapa slot motivasi khas dianjurkan bersempena lawatan ini, antaranya berkaitan isu belia dan remaja, kesihatan dan juga keibubapaan. Pada program ini juga turut diadakan forum perdana bertajuk “Segulung Ijazah Cinta”.

Forum berkenaan sedikit sebanyak berjaya menunjukkan jalan keluar bagi permasalahan dan cabaran mahasiswa untuk berjaya.

Antara dirungkaikan adalah akademik, cabaran kos sara hidup di Mesir dan adaptasi cara belajar.

Dalam selingan program hampir dua minggu itu, ahli panel turut mengingatkan harapan masyarakat Malaysia kepada graduan dari Mesir, terutamanya graduan Al-Azhar yang diharapkan dapat membantu menyelesaikan isu ummah.

Bakar semangat

Sebagai sukarelawan, setiap detik waktu adalah kehidupan baginya dan tidak senang duduk andai waktunya di Mesir tidak dipenuhi dengan aktiviti bermanfaat yang dapat menambah nilai kehidupan penuntut Malaysia di Mesir.

Timbalan Presiden Bahagian Pembangunan Belia YDKMM Sabah, Ghafur Rahim turut dijemput sebagai penceramah dalam slot bertajuk “Success Start With Confidence”, bagi membakar semangat dan keyakinan mahasiswa Mesir.

Lawatan satu-satunya wakil dari Sabah ke Mesir dalam delegasi YDKMM Malaysia kali ini mendapat undangan sebagai penceramah dalam program “Leadership Transformation Programme”.

Program ini dianjurkan khusus buat penuntut Malaysia di Universiti Al-Azhar. Para peserta yang hadir merupakan mahasiswa pelbagai bidang, antaranya Ulum Islamiyah, Perubatan, Pergigian, Syariah dan Usuluddin.

Selain itu, atas dasar rasa tanggungjawab Ghafur terhadap anak Sabah sedang menuntut di Mesir, beliau sempat melakukan kunjungan secara tidak rasmi dan beramah mesra dengan anak Sabah di Mesir bertanya khabar berkaitan isu semasa dan akademik mereka.

Mahasiswa jurusan Ulum Islamiah dan Bahasa Arab, Universiti Al Azhar, Nurul Husna Shahruddin, 23, berkata, perkongsian kali ini membuka mata mahasiswa-mahasiswa inginkan kejayaan besar dalam kehidupan dunia dan di akhirat.

“Sebagai mahasiswa sedang menuntut ilmu pastinya ada amanah besar sedang dipikul dan ia perlu bermula dengan keyakinan tinggi,” katanya.

Lawatan berkenaan diharap dapat menjalinkan hubungan lebih erat antara YDKMM Mesir dan YDKMM Sabah khususnya, seterusnya dapat memberikan impak besar terhadap perlaksanaan program-program akan datang.

Sebarang pertanyaan mengenai sukarelawan dan program dianjurkan YDKMM Sabah boleh berhubung terus Asfarina (+601110793253) dan Salwa (+0198031924).