BAYANGKAN situasi mereka yang keluarganya tiada pendapatan dan kurang berkemampuan dari hujung utara mahupun selatan atau dari Malaysia Timur terpaksa datang ke ibu negara untuk mendapatkan rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) dengan poket kering.

Sudahlah terpaksa memperuntukkan wang untuk rawatan, makan minum dan tempat tinggal (terpaksa tinggal berhampiran) sementara urusan di situ selesai, juga terpaksa difikirkan.

Prihatin dengan keperluan golongan ini, Yayasan MyPrihatin sebuah organisasi bukan berasaskan keuntungan ditubuhkan di bawah Akta Pemenang Amanah (Pemerbadanan) 1952, pada 4 April 2015.

Pengasas Yayasan MyPrihatin, Muhd Al-Bazli Bakar berkata, misi dan visi pihaknya adalah menjadi institusi dana yang cekap dan telus untuk membantu golongan kurang bernasib baik menerusi penyediaan dana bagi menyelesaikan masalah serta keperluan berkaitan ke arah melahirkan masyarakat prihatin.

“Kita membantu pesakit kanak-kanak dari keluarga kurang berkemampuan, sebab Yayasan IJN hanya bantu daripada segi pembedahan. Sementara kos logistik pesakit, makan minum dan tempat tinggal mereka tidak ditanggung.

“Jadi peranan kita bekerjasama dengan Yayasan IJN untuk tanggung kos berkaitan ketika pesakit dan keluarga berada di IJN. Kadang kita bantu juga keluarga mereka di kampung apabila sesetengah kes bila datang dapatkan rawatan di IJN mereka terputus kewangan untuk mendapat pendapatan,” katanya.

Al-Bazli berkata demikian semasa Program Sinar Harapan dan Menandatangani Program MyHeart Siri Ke-3,  di IJN ibu negara, Rabu lalu.

Hadir sama dalam program berkenaan Pengerusi Yayasan MyPrihatin, Prof Datuk Dr Halimaton Hamdan; Perunding Kardiologi Kanak-kanak, Dr Marhisham Che Mood; Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar dan selebriti ikon muslimah, Nur Heliza Helmi.

Mengulas keperluan pesakit dan keluarga mereka mendapatkan rawatan di IJN, Al-Bazli berkata ia penting memandangkan ada yang terpaksa mengambil masa lebih sebulan tinggal di IJN terjejas lebih-lebih lagi dalam kalangan mereka berpendapatan rendah dan  jauh.

“Dengan bantuan ini, setiap hari kita perlu peruntukkan RM50 untuk penginapan, RM50 makanan dan sebulan kira-kira RM3,000. Setakat ini (sejak dimulakan) terdapat 447 penerima bantuan.

“Tahun ini baru 10 penerima. Penyumbang dalam kalangan korporat dan orang awam. Setiap tahun kita perlukan hampir RM200,000, jadi kita sangat mengalu-alukan lebih ramai lagi penyumbang prihatin,” katanya.

Senarai penerima bantuan biasanya diterima selepas mendapat cadangan doktor berkaitan.

 

Tandatangani MoU

Terdahulu, Program Sinar Harapan adalah sesi penyampaian sumbangan hamper dan ramah mesra antara selebriti dengan pesakit jantung kanak-kanak di IJN. Heliza turut berkolaborasi dengan Yayasan MyPrihatin bersama jenama tudungnya HelizaGuzelhive di mana sebahagian daripada keuntungan jualan tudung tersebut disalurkan ke Tabung MyHeart.

Pada majlis kali ini juga Yayasan MyPrihatin menandatangani dokumen memorandum persefahaman (MoU) dengan Yayasan IJN bagi Program MyHeart Siri Ke-3.

Tujuan utama program ini adalah bagi membantu pesakit jantung kanak-kanak dan remaja berusia 17 tahun ke bawah, kalangan keluarga kurang berkemampuan mendapatkan pembiayaan bagi menjalankan rawatan dan pembedahan jantung di IJN.

Menerusi Program MyHeart ini, Yayasan MyPrihatin memainkan peranan membawa pesakit tersebut ke IJN dengan menanggung segala kos terlibat dalam proses tersebut seperti logistik dan sara diri bagi membolehkan pesakit melakukan pemeriksaan kesihatan seterusnya rawatan, manakala Yayasan IJN menampung kos pembedahan.

Pada Program MyHeart Siri Ke-3 ini, Tabung MyHeart menyasarkan kutipan sejumlah RM50,000 sepanjang berlangsungnya program ini sehingga Mac 2019. Ia juga membolehkan syarikat korporat dan rakyat prihatin menghulurkan bantuan.

Sumbangan ke Tabung MyHeart ini boleh disalurkan menerusi akaun Bank Yayasan MyPrihatin: 5648 0164 8485 (Maybank). Melalui borang atas talian, http://www.myprihatin.org.my/derma.html