GLOBAL Peace Mission (GPM) Malaysia melalui projek khasnya, Malaysian Life Line For Syria (MLLFS) menghantar dua wakil ke Konvoi Wanita Untuk Syria (The International Conscience Convoy) dalam usaha bersama-sama masyarakat dunia menyatakan solidariti terhadap mangsa kekejaman peperangan Syria khususnya wanita yang hingga kini masih diseksa dan dihumban ke dalam penjara tanpa pembelaan sewajarnya.

Delegasi Malaysia diwakili oleh Exco GPM, Maria Kamel dan Timbalan Ketua Pegawai Operasi GPM, Wan Noor Fadhilah Wan Ibrahim, turut membawa dana awal Bantuan Kecemasan Timur Ghouta sebanyak RM30,000 hasil sumbangan rakyat Malaysia.

Mereka memulakan konvoi pada 6 Mac bermula di Istanbul sebelum menelusuri bandar-bandar utama di Turki antaranya Izmir, Sakarya, Ankara dan Adana sebelum konvoi berakhir di Hatay, sempadan Turki dan Syria.

Penyertaan delegasi Malaysia dalam konvoi kali ini adalah manifestasi komitmen GPM dalam mengangkat dan membela isu-isu kemanusiaan merentasi sempadan.

Konvoi ini dianjurkan secara bersama oleh NGO-NGO Antarabangsa antaranya UNIW, TUGVA, IHH, Memur-Sen dan turut mendapat sokongan kerajaan Turki.

Menariknya, konvoi ini dianjurkan bersempena sambutan Hari Wanita Sedunia yang disambut pada 8 Mac.

Maria berkata, ribuan peserta delegasi  menyertai konvoi antarabangsa ini menyampaikan mesej keamanan kepada dunia mengenai keperluan melepaskan kesemua tahanan dalam penjara dan mengakhiri kezaliman serta penindasan pada para wanita di negara bergolak Syria.

"Konvoi melibatkan 150 bas ini adalah terbesar seumpamanya dianjurkan bagi tujuan beri kesedaran dan pendedahan secara massa mengenai krisis kemanusiaan Syria yang memasuki tahun ke-8.

"Kumpulan konvoi ini turut membawa sebanyak 6,536 helai tudung sebagai simbolik kepada jumlah tahanan wanita di dalam penjara oleh rejim," katanya.

Konvoi ini melibatkan penyertaan aktivis wanita dari 55 negara terdiri daripada pelbagai latar belakang profesion, usia, etnik, kaum dan agama.

GPM dan MLLFS pernah menyertai konvoi terbesar di dunia dalam Misi Unity Convoy Ambulances for Syria untuk menghantar 85 ambulans ke Syria pada April 2017.

Dalam masa sama, GPM melalui MLLFS mempertingkatkan kempen bantuan kecemasan Ghouta Timur dengan menyasarkan jumlah sumbangan RM400,000 yang perlu dikumpulkan sehingga akhir Mac ini.