BUKU dan penulisan adalah legasi terbesar yang bertahan berabad-abad lamanya, dengan buku dan penulisan juga manusia mengetahui sejarah asal usul mereka bahkan mendapat ilmu”.

Itu kata-kata penulis buku, Thaqib Shaker yang baru berkecimpung di dalam dunia penulisan semenjak setahun lalu.

Thaqib Shaker yang juga penuntut di kota Izmir, Turki telah menyumbangkan lebih 100 buku kanak-kanaknya kepada murid-murid darjah 4 di sekolah lamanya, Sekolah Rendah Kebangsaan Taman Permata, Kuala Lumpur.

Baginya, kanak-kanak adalah generasi pada masa hadapan yang perlu digilap dengan ilmu bermanfaat dan informasi-informasi berguna, kelak mereka akan membesar dengan maklumat-maklumat yang penting dan berfakta.

“Kanak-kanak hari ini disajikan dengan banyak buku penuh dengan imaginasi dan fantasi keterlaluan.

"Bukankah lebih baik sekiranya buku-buku tersebut diisi dengan maklumat bermanfaat dan jalan cerita lebih logik serta diselangi dengan ilustrasi-ilustrasi yang cantik dan menarik," katanya yang gembira kerana dapat berinteraksi secara langsung dengan murid-murid sekolah lamanya itu, semasa program pemberian buku berkenaan, baru-baru ini.

Menurutnya lagi, dia bekas murid Sekolah Rendah Taman Permata pada tahun 2001 dan tahun tersebut dirasakan tahun paling gelap dalam hidupnya kerana kegagalannya dalam bidang akademik dan komunikasi bersama rakan-rakan sekelasnya.

Thaqib merasa begitu tertekan dengan kehidupan mudanya dan mengambil keputusan terus maju ke hadapan dengan sokongan para guru dan kedua ibu bapanya.

“Kadang-kadang penulis perlu berkorban sesuatu demi masa hadapan generasi lebih sihat, berkualiti dan beriman.

"Maka pemberian buku kembara di Kota Istanbul secara percuma itu diharap akan menjadikan para pelajar sangat menghargainya," katanya lagi.

Menurutnya, buku ini membawa kanak-kanak menerokai kota Istanbul yang penuh dengan 1001 sejarah Islam bersama tokoh-tokohnya yang hebat.

Thaqib berkata, kuku ini diisi dengan fakta-fakta berkenaan tempat bersejarah Turki seperti Haghia Sofia, Istana Topkapi dan sebagainya. Kisah bagaimana Kota Konstantinople ditakluk oleh Sultan Muhammad Al Fatih turut diceritakan.

"Buku ini langsung tidak membosankan pembaca kerana watak utamanya, Aman yang berumur 12 tahun hilang di tengah-tengah lautan manusia di Kota Istanbul yang begitu pesat. Plot-plotnya menarik akan membuatkan pembaca tertanya-tanya dan meneruskan pembacaan.

Pada 20 minit terawal, Thaqib berpeluang memberikan sedikit taklimat dan motivasi kepada murid-murid tersebut supaya meneruskan usaha mereka dalam menggali ilmu yang bermanfaat.