PERTUBUHAN Kebajikan Dan Pendidikan Insan Bestari Malaysia memerlukan sumbangan bagi menampung keperluan harian dan aktiviti bagi penghuni rumah kebajikan ini.

Guru dan penjaga rumah amal terbabit, Muhammad Naajihin Azizan, 27, berkata, pihaknya sangat mengalu-alukan jemputan untuk majlis tahlil, doa selamat dan bacaan Yasin serta sebarang kenduri.

“Anak-anak di sini boleh main kompang. Kita berharap melalui sumbangan dengan khidmat bermain kompang kami sediakan ini sedikit sebanyak dapat menampung keperluan kami.

“Selain itu, kami ada juga menjalankan aktiviti perusahaan sayur tauge secara kecil-kecilan dan menjualnya bagi menampung keperluan kami,” katanya.

Menurutnya sehingga kini, bagi menampung hampir 50 penghuni terdiri dari anak fakir miskin, golongan asnaf zakat, remaja insaf dan anak-anak yatim, kira-kira RM15,000 perbelanjaan sebulan diperlukan.

Naajihin berkata, selain keperluan bagi rumah amal diuruskannya, iaitu Teratak Insan Bestari di alamat No 146 Jalan Melati 1/1, Sg Buloh Country Resort, Saujana Utama Sg Buloh, Selangor, iaitu penempatan pelajar lelaki berusia 13 hingga 18 tahun, dua lagi cawangan pertubuhan ini ialah di Kota Damansara dan Saujana Rawang yang menempatkan pelajar wanita sekolah rendah dan menengah.    

“Kami juga mengalu-alukan pihak yang sudi menghulurkan barangan keperluan harian seperti beras, gula, tepung, susu pekat, minyak masak, bihun, bawang, kentang, sabun baju, sabun mandi, ubat gigi dan sabun pinggan.

“Alhamdulillah sumbangan raya lalu ada juga buat kami namun berkurangan pada bulan-bulan biasa dengan hanya kira-kira RM4,000 sahaja sebulan diperoleh berbanding jumlah sebenar diperlukan,” katanya.

Justeru pertubuhan menyediakan penempatan dan pendidikan bagi penghuni memerlukan ini mengalu-alukan sumbangan orang ramai demi melancarkan segala aktiviti kebajikan yang diusahakan di rumah kebajikan ini.

Sebarang pertanyaan atau ingin menjemput undangan atau sumbangan, hubungi Ustaz Naajihin di talian 013-9867313 atau salurkan ke akaun Bank (Maybank Berhad): 562740138657 (Pertubuhan Pendidikan Kebajikan Insan Bestari Malaysia).

Setiap sumbangan melebihi RM1,000 akan mendapat pelepasan cukai di bawah seksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1976 rujuk : LHDN 01/25/4204 Warta kerajaan 45466(6-7-95), manakala resit adalah atas permintaan.