TIDAK pernah mendapat A dalam setiap peperiksaan penting di sekolah malah taraf akademik setakat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bukan alasan tidak boleh memimpin dan sentiasa terkebelakang.

Berasal dari keluarga sederhana juga bukan penghalang buatnya, apabila bijak memanfaatkan bantuan netbook semasa di sekolah.

Mula berniaga atas talian semasa di tingkatan 4 hingga bergelar top 11 blogger dalam Malaysia pada usia 17 tahun (sumber: Alexa) dengan menjana pendapatan RM5,000 hingga RM8,000 sebulan, itu detik kecemerlangan awalnya.

Malah berjaya bergelar Pengarah atau CEO Harian Ikhlas Sdn Bhd (anak syarikat Kumpulan Media Karangkraf Sdn Bhd) pada usia 19 tahun, kejayaan besar boleh dibanggakan.

Menariknya ketika mendapat pangkat besar dalam seusia itu, anak muda bernama Muhammad Jantan ini memilih meninggalkan kesemuanya untuk  membuat kerja-kerja kebajikan.     

Sebagai Presiden Pertubuhan Sukarelawan Muslim Malaysia (MVM) juga pada 19 tahun, dengan bantuan tiga staf pada awalnya, kini MVM mempunyai 26 kakitangan keseluruhan di bawahnya.

Pemuda baharu berusia 23 tahun ini, kini aktif membawa misi MVM bukan saja di dalam, malah di luar negara.

Tamat SPM anak bongsu dari empat beradik ini membuat keputusan tidak  menyambung pelajaran.

"Tapi mak ayah beri izin saya berhijrah di Hulu Langat, Selangor. Saya blogger jadi ada networking dengan kawan-kawan buat bisnes di sana.

"Seronok-seronok buat duit, saya terbaca artikel Ustaz Azhar Idrus mengenai dosa blogger upload gambar dedahkan aurat wanita.  

"Masa tu saya dah tahap bayar sendiri server sebulan RM800-RM1,500. Trafik web lebih 100k, 16 juta sebulan. Saya terfikir... takkan dosa aku banyak macam ni. Bila terlintas terus saya terfikir tinggalkan blog ni," katanya berasal dari Durian Tunggal dan kini tinggal di Puchong.

 

Cantik aturan ALLAH

Percaya cantik aturan ALLAH, seminggu selepas itu, Muhammad mendapat mesej daripada rakannya mengajak menjual al-Quran.

"Lepas tinggal blog, dapat rezeki jual 500 al-Quran dalam seminggu, jualan kasar RM35k.

"Dulu blog saya fokus isu semasa dan apa saja boleh naikkan trafik web, asalkan dapat duit. Tapi lepas tu saya buat bisnes ini," katanya.

Gemar mengikut kata hati, pada 2012 ketika perang teruk di negara bergolak, Muhammad mendapat tahu Aman Palestine memerlukan sukarelawan sebelum berminat menyertainya.

Tatkala anak muda lain sibuk urus hal diri sendiri, dia memilih ke Misi Solidariti Gaza 2012.

"Hati kata saya kena pergi dan bantu. Tapi nak pergi pun kena bayar RM3,500, ini ramai tak tahu. Masa ada tiga minggu. Tapi entah macam mana ia dipendekkan tiga hari.

"Saya tak pernah buat RM3,000 dalam tiga hari. Jadi sebab tak mampu bayar, saya up di FB minta sumbangan tapi berapa ratus saja dapat. Tiba-tiba dapat contact ada seorang kakak nak sponser saya ke Palestin," katanya.

Mulanya disangka gurauan, namun atas saranan rakannya dia menghubungi nombor telefon diberi dan wanita misteri itu sahkan mahu menajanya dan dua lagi rakannya ke Palestin.

Apalagi dia mendapat izin ibu bapanya walaupun mulanya mereka tidak membenarkan.

"Misi tu besar dengan 120 peserta, saya pula paling muda. Sempat saya hubungi kakak tu cakap nak jumpa kerana kata tinggal di Cheras.

"Tapi dia cakap anaknya demam panas tahap kritikal dan nak dibawa ke luar negara. Kalau pulang, insya-ALLAH jumpa di Malaysia. Nak jadi cerita saya pula hilang telefon bimbit masa di Gaza, habis semua contact.

"Dah balik ke Malaysia nak dapatkan nombor kakak tu daripada orang asal bagi pun tak boleh, sebab masa tu juga telefonnya buat hal hingga nombor hilang. Sampai sekarang saya tak dapat jumpa dan tak kenal kakak itu," katanya.

Namun menurut Muhammad, siapa dia hari ini, disebabkan satu pesanan wanita itu sebelum dia ke Palestin, iaitu sekiranya selamat pulang ke Malaysia, perlu membantu seramai boleh anak muda.  

"Amanah itulah saya pegang sampai kini," katanya.

 

Bantu asnaf keluar kepompong

Percaya amanah diberi 'wanita misteri' dan peluang ke bumi Palestin membantunya lebih membuka minda, Muhammad berasa tidak boleh duduk diam untuk menambah ilmu di dada.

Peluang mempelajari ilmu pengucapan awam di Kumpulan Media Karangkraf (KMK) kira-kira lima tahun lalu dan bertemu Pengarah Urusannya, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub dimanfaatkan sebaiknya hinggalah ikon usahawan berjaya itu tertarik bekerjasama dengannya.

"Ketika itu juga saya sudah mempunyai grup kebajikan sendiri untuk bantu homeless. Memang saya akui saya manusia yang tak selesa dengan satu benda. Satu hari Haji (Hussamuddin) beri pilihan pada saya dengan tanya sama ada sebenarnya pilih nak buat bisnes ke charity.

"Katanya saya perlu fokus. Kalau nak bisnes kena tinggalkan charity, Menangis saya masa tu, tapi pada masa sama saya rasakan boleh buat benda lain lebih besar. Jadi saya ambil keputusan jual saham saya di KMK untuk buat NGO," ceritanya.

Gembira dapat memberi tumpuan dan membuat program-program kebajikan selepas meninggalkan KMK, menurut Muhammad selepas itu wang simpanan ada habis dengan ramai sukarelawan dan rakan hilang.

Menyifatkan pada masa itu dia tidak mempunyai apa-apa, katanya bagaimanapun faham mereka tidak dapat mengikutinya disebabkan komitmen lain dan tiadanya pulangan untuk kerja NGO.

"Pada 2015 MVM senyap setahun. Saya rasa masa tu kena fokus balik buat duit. Saya buat servis internet marketer dengan latar belakang ada 1 juta lebih 'likes' di FB. Masa tu sebulan dah boleh dapat RM200k lebih, dengan staf tiga ke empat orang.

"Tapi sekali lagi pada tahun sama saya bertanya pada hati... 'ini ke yang saya mahu?'. Saya buat keputusan fokus balik pada MVM. Saya kaji balik ada akta benarkan kita ambil peratus untuk bahagian pengurusan. Dengan yakinnya saya mulakan NGO ini pada 2016 dengan ambil tiga staf, masa tu baki akaun ada RM500 lebih saja," katanya.

Sehinggalah hujung 2016 MVM dikendalikannya berjaya menjalankan 33 program untuk asnaf dan dalam masa sama mengalu-alukan sumbangan orang ramai.

Fokus pembangunan mengikut fasa di samping bantuan meluas di seluruh negara, hingga kini MVM menumpukan pembangunan untuk 300 asnaf di Puchong.

 "MVM ni fokus pembangunan Malaysia, sebab apa saya pernah duduk dengan board zakat dan berdebat, banyak buat program one off. Saya cakap kat zakat, satu kotak sumbangan takkan ubah manusia.

"Memang buat masa ini tak ramai keluar kepompong, tapi hasilnya kami puas hati. Misalnya kami buat bantuan program MVM apprentice untuk graduan asnaf pointer bagus tapi belum dapat kerja. Saya buat program percuma untuk mereka, dibiayai syarikat besar. Syukur daripada 24 peserta, pemenang pertama dah ada dua kedai, ada yang jadi owner syarikat. Usaha ini untuk anak-anak asnaf, kita harap dapat bentuk insan yang dapat membantu orang lain pula," katanya.

 

Mahu tubuh yayasan

Rezeki MVM diterajuinya, pada 2017 sumbangan orang ramai sudah mencecah jutaan dan percaya usaha mengajak artis menyertai MVM membina kepercayaan awam.

Menurutnya, aktif mengemas kini aktiviti di laman sosial , membantu mengetengahkannya NGOnya itu.

"Pada 2017 kami dapat buat 56 program; 2018, 68 program dan sekarang ada 15 artis jadi ikon di bawah kami.

"Alhamdulillah sekarang kami dah ada empat lot ofis. Kalau tanya sampai bila saya akan dengan MVM, NGO ni tak boleh pegang lama oleh Presiden, insya-ALLAH saya dah susun strategi, nak tubuhkan Yayasan MVM lepas itu," kata pemuda baharu sebulan lebih mendirikan rumah tangga ini.

Harapannya agar NGO ini dapat berkembang di samping mengalu-alukan graduan baharu tamat pengajian menyertainya untuk mengutip pengalaman yang sebenarnya sangat diperlukan majikan.  

Akur dia anak antara yang tidak mempunyai keputusan akademik baik, dihina di sekolah, dan sering berada di kelas akhir, Muhammad berhasrat membuka mata golongan muda untuk melihat, sekiranya tidak mampu berjaya dalam pelajaran, mereka boleh buat perkara diminati.

"Saya penah ketengahkan 'benda' ni hingga dapat liputan muka hadapan dalam akhbar, student kita hanya menghafal, tapi tak diraikan untuk terima kemahiran. Patut jika tak berjaya akademik, perlu ada kemahiran.  

"Tujuan hidup saya senang saja, saya nak bebankan diri untuk orang lain. Tapi tak rasa terbeban sebab buat benda yang kita suka!," katanya bersemangat. -AG