SEJAK zamannya membesar dia biasa melihat kumpulan kanak-kanak melemparkan batu pada haiwan terutama seperti anjing.  

Ada juga insiden tidak dapat dilupakan menyaksikan si kucing dibaling dan dihempas ke lantai, hingga tidak lagi bernyawa oleh manusia tak berhati perut.

Itu antara pengalaman berharga dalam hidup Presiden Persatuan Haiwan Malaysia (Animal Malaysia) Arie Dwi Andika, menjadikannya kini giat dalam usaha menegah daripada penganiayaan dan penzaliman terhadap haiwan.

"Pengalaman depan mata saya terutama libatkan anak-anak Melayu melempar batu kepada anjing, dulu ini umpama perbuatan biasa pada mereka, mungkin kerana sentimen tertentu.

"Sama kes aniaya kucing. Mungkin kerana masa tu tak ada penguatkuasaan akta dan kesedaran tinggi terhadap haiwan. Itu pengalaman lama saya berbelas tahun lalu," kongsi Arie ketika kunjungan Cakna ke pejabat Animal Malaysia di Segambut, Kuala Lumpur.

Berkongsi latar belakangnya, pemuda berusia 39 tahun juga berasal dari Segambut ini memberitahu, dia prihatin akan nasib haiwan bermula dengan suka-suka pada tahun 1998, ketika masih menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor.

Membuat kerja-kerja menyelamatkan kucing-kucing jalanan terbiar secara tidak langsung, ketika itu Arie juga mempunyai 10 ekor kucing berkaitan yang dipelihara.

"Sejak itu saya aktif jadi sukarelawan dan membantu dalam program kembiri kucing anjuran Persatuan Mencegah Kekejaman Terhadap Haiwan (SPCA).

“Pada 2006, saya membuka pula Pusat Pengurusan dan Penjagaan Kucing Ikhlas (PPPKI) yang mana fokusnya masa itu menyelamatkan kucing dan menawarkan khidmat asrama kucing, dandanan, jualan makanan dan aksesori haiwan selain pusat perlindungan kucing terbiar,” katanya.

Sebaik tamat pengajian Ijazah Undang-undang, sehingga kini Arie bekerja sendiri dengan membuka pelbagai perniagaan terutama berkaitan pembinaan dan bengkel membaiki motosikal.

 

Tubuhkan persatuan

Biarpun jurusan pengajiannya di universiti dan pekerjaan diusahakan sekarang berlainan sama sekali dengan perjuangannya kini, namun ia bukan penghalang kerana kecintaan dan hobinya terhadap haiwan.

Pada 2010, Arie menubuhkan persatuan mengumpulkan peminat-peminat kucing, dan ketika itu juga memberi tumpuan menganjurkan   program berkaitan kucing.

Tidak berhenti setakat itu, Arie akhirnya menubuhkan NGO yang menjadi tumpuannya kini iaitu Animal Malaysia sejak dua tahun lalu atas kesedaran haiwan juga memerlukan perhatian masyarakat.

Menubuhkan Animal Malaysia pada 2016, persatuan ini turut memberikan fokus kumpulan haiwan liar terancam, terutama membabitkan penerokaan hutan hingga menyebabkan habitat makhluk ini terjejas.

"Kebanyakan kita bangkitkan isu kemalangan haiwan liar di jalan raya. Kita ketengahkan kes haiwan terancam seperti tapir, gajah dan harimau.

"Sebagai wakil NGO ini, antara kami selalu bangkitkan untuk pihak terbabit banyakkan tempat laluan khusus di lebuh raya untuk menyenangkan haiwan lintas.

"Di luar negara perkara ini jadi keutamaan untuk kelulusan projek lebuh raya. Negara maju seperti Singapura, Barat seperti Amerika dan Kanada antara mengutamakannya," katanya.

 

Berdepan pembenci haiwan

Memperjuangkan nasib haiwan juga tidak semudah membela nasib manusia, biarpun dengan perkembangan ilmu dan pengetahuan masa kini ramai sudah mula membuka mata terhadap kebajikan haiwan.

Arie tidak menafikan ramai kalangan masyarakat mulai prihatin akan nasib haiwan, namun masih ada cabaran besar perlu dihadapinya dan golongan pencinta haiwan iaitu berdepan dengan segelintir mereka yang tidak sukakan haiwan.

"Ada ramai kalangan penduduk terutama di perumahan bertingkat, rasa terganggu dengan kehadiran haiwan seperti kucing dan anjing. Masalah berlaku hingga buat laporan ke pihak berkuasa tempatan .

"Dalam akta strata tak larang pelihara haiwan peliharaan di dalam rumah masing-masing. Tetapi tertakluk kepada perjanjian penduduk dalam JMB di sesuatu perumahan itu. Jika kata timbul kacau ganggu, ia berbalik kepada segelintir penduduk pula yang tidak tahu menjaga haiwan terbabit," katanya.

Berkongsi perubahan kaedah membela haiwan domestik seperti kucing pada masa lalu, Arie membandingkan ibu dan datuknya dahulu turut memelihara haiwan itu namun, secara biasa tanpa mengambil kira jenis makanan, vaksin mahupun keperluan pemandulan.

Ia berbeza dengan situasi membela haiwan sama seperti hari ini.

"Hari ini di peringkat saya, pemandulan itu satu kewajipan. Inilah sekarang yang kita lakukan iaitu membuat banyak program kesedaran termasuk di sekolah-sekolah. Tidak menentu, kadang program ini juga bergantung kepada permintaan pihak tertentu.

"Bagi saya, kerajaan dan masyarakat kita memang nampak sudah semakin celik kesedaran mereka terhadap nasib haiwan. Tetapi tahap tindakannya masih 50 peratus, belum sepenuhnya," katanya.

Mengulas punca berlaku, menurutnya ia berikutan masih kurang kesedaran nasib haiwan melalui pendidikan, justeru mencadangkan mata pelajaran berkaitan dimasukkan untuk pelajar di sekolah.

 

Haiwan liar

Selain haiwan domestik peliharaan dan ternakan, nasib haiwan liar turut menjadi fokus Arie dan Animal Malaysia.

Isu terbaharu diperjuangkannya berkenaan pemburuan haram haiwan liar, apalagi permintaan pasaran untuk seekor haiwan liar mencecah harga hingga RM8,000.

"Dengan nilai setinggi itu, haiwan dapat perhatian pemburu haram ini seperti gajah untuk dapatkan gadingnya, begitu juga harimau untuk mendapatkan komponennya. Ada juga hendak dapatkan organ dalaman dan sebagainya.  

"Perjuangan bagi NGO seperti kami hanya boleh suarakan dan bagi desakan, namun kuasa sebenar hanya ada pada pihak berkuasa seperti Jabatan Veterinar Malaysia dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan)," katanya.  

Mempunyai kira-kira 5,000 ahli di seluruh negara setakat ini, Animal Malaysia, menekankan tiga undang-undang utama perlu dipatuhi iaitu Akta Binatang 1953 Pindaan 2013, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 dan juga Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008.

Arie tidak menafikan akta sedia ada mencukupi untuk melindungi kebajikan haiwan di negara ini sudah memadai, namun berharap penguatkuasaan dan pelaksanaannya berjalan dengan sepatutnya dan menyeluruh.

"Kebanyakan pencinta haiwan mengharapkan masyarakat dan semua pihak celik dengan undang-undang berkaitan haiwan.

"NGO terbatas kerana kuasa bukan di tangan kita, tetapi bergantung kepada badan terbabit," kata Arie yang masih bujang dan tinggal di Segambut ini.

Fokus dan perancangan terbaharunya untuk mewujudkan pusat rehabilitasi musang kerana haiwan itu juga dikatakan antara spesies terancam, terutama di bandar-bandar seperti di Lembah Klang.   

Arie berkata, 12 spesies musang dikenal pasti setakat ini turut kehilangan habitat dan sukar mendapatkan makanan secara rutin.

"Tempat sudah dikenal pasti. Sekiranya cukup dana, kita akan buka pusat rehabilitasi musang ini. Untuk operasi memang kita perlukan dana.  

"Kita juga bercadang menganjurkan festival haiwan dalam masa terdekat. Jadi kita alukan sebarang bentuk sumbangan dana dan bantuan," katanya.

Mereka prihatin menyumbang boleh berhubung melalui Facebook, Persatuan Haiwan Malaysia - Malaysia Animal Association atau laman web www.animalmalaysia.com