ORANG di Mesir sangat meraikan dan memuliakan anak yatim, hingga membuat kelainan di negara itu apabila terdapat ‘Hari Anak-anak Yatim’ yang diraikan pada setiap tahun minggu pertama bulan April.

Program Ehna Ma’ak merupakan kempen besar-besaran untuk sama-sama menyahut seruan Rasulullah SAW bagi menyantuni dan menghulurkan bantuan kepada anak-anak yatim di Mesir yang memerlukan.

Hasil kutipan dijalankan, hampir RM13,000 bersamaan LE 50,000 berjaya disumbangkan untuk membeli barangan keperluan belajar dan permainan kepada anak-anak yatim terlibat secara langsung dalam program Ehna Ma’ak ini.

Kempen ini dimulakan dengan program mini ‘Ziarah Anak Yatim Kurang Upaya’ di Pusat Penjagaan Anak-anak yatim Darus Sundus di Madinat Nasr, Mesir.

Pengerusi YDKMM Mesir, Haziq Iqbal Azero berkata, program ini juga memberi peluang penuntut Malaysia di Mesir untuk mendapatkan pengalaman berharga dan secara tidak langsung memberikan sumbangan mereka.

“Kita berharap agar program melibatkan mahasiswa Malaysia bersama anak yatim Mesir kali ini dapat menceriakan hati mereka,” katanya semasa program kebajikan mega sambutan Hari Anak-Anak Yatim dianjurkan YDKMM Mesir dengan kerjasama Education Malaysia Egypt (EME) dan beberapa NGO Mesir seperti Nadi Ruwad, Badan Kebajikan Resalah, Pertubuhan Jami’ah, dan Persatuan Pemuda Fihubbillah.

Hadir sama, Pengarah Nadi Ruwad, Amani Abdullah.

Program Ehna Ma’ak 2018 yang membawa maksud ‘Kami Bersamamu 2018’ ini mendapat sambutan lima negara iaitu Malaysia, Mesir, Indonesia, Singapura, Kyrgyzstan dan Turki serta melibatkan 1,780 anak yatim.

Difahamkan tujuan utama kempen Ehna Ma’ak ini sebagai inisiatif proaktif diambil YDKMM Mesir untuk membantu rakyat Mesir dalam menyahut misi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memperkasa masyarakat memerlukan ke arah kesejahteraan sosial.

Program ini disertai 102 peserta termasuk AJK program daripada pelbagai persatuan penuntut Malaysia seperti Majlis Perundingan Mahasiswa Malaysia Mesir (MP3M), Pertubuhan Amal Kebajikan Pelangi Malaysia (PAKPM), Haluan Siswa Mesir, Angkatan Belia Islam Malaysia Mesir (Abim Mesir), Ikram Mesir dan persatuan pelajar selain Malaysia seperti Perhimpunan Kebajikan Mahasiswa Singapura di Mesir (Perkemas), Persatuan Pelajar dan Mahasiswa Indonesia (PPMI), Wihdah PPMI dan Biro Perhubungan Luar Negara (BPLN).

 

40 NGO kebajikan

Istimewanya program Ehna Ma’ak pada kali ini, lebih kurang 40 NGO badan kebajikan anak-anak yatim di Mesir serta penglibatan daripada pelbagai negara luar dan dijalankan secara dwibahasa.

Ahli Jawatankuasa program Ehna Ma’ak, Nor’Aini Ahmad Zohri, 24, menyifatkan bukan mudah untuk pihaknya mengadakan program besar dan ramai peserta lebih-lebih lagi melibatkan pelbagai negara ini.

"Oleh itu, saya sarankan semua peserta dapat bersama memberikan kontribusi sepenuhnya dalam program terutamanya ketika beraktiviti bersama anak-anak yatim.

"Inilah peluang terbaik untuk kita berinteraksi dan menyantuni mereka yang telah kehilangan ibu bapa,” katanya.

Sepanjang program, masa ada dipenuhi dengan acara menceriakan anak-anak yatim seperti aktiviti lukisan muka bendera Mesir, permainan di taman, permainan bola, tarik tali antara satu sama lain, nyanyian lagu, kuiz dan soalan-soalan mengenai sirah serta aktiviti di atas pentas seperti perbualan patung ‘puppet’ melucukan.

Majlis perasmian disempurnakan dengan penyerahan replika sumbangan LE 50,000 oleh Haziq Iqbal kepada Amani.

Sementara itu, Amani berkata, Hari Anak-Anak Yatim diadakan bukan sekadar menceriakan anak yatim, tetapi untuk menggembirakan diri sendiri melihat senyuman dan kegembiraan golongan cilik diraikan.

"Setinggi-tinggi tahniah kepada semua pihak terlibat secara langsung atau tidak langsung, khususnya kepada para peserta Ehna Ma’ak yang banyak membantu terutamanya dalam sumbangan dan hadiah kepada anak-anak yatim," katanya.