ASAL namanya anak yatim, golongan berkenaan sering dikaitkan sebagai orang susah dan daif atau perlu meminta sedekah. Itu biasanya ada dalam pemikiran masyarakat kita apabila membayangkan situasi anak yatim di negara ini.

Namun stigma itulah ingin diubah wanita ini yang percaya darjat anak yatim sudah dimuliakan, justeru mereka berkemampuanlah patut mencari golongan tersebut untuk dibantu.

Biarpun belum ada sumbangan dana korporat diterima, tetapi kebanyakan infak hanya dari individu, namun Rumah Anak-anak Yatim At-Taqwa (At-Taqwa) terletak di Taman Putra Perdana, Puchong, Selangor mampu diuruskan sejak tujuh tahun lalu.

"Alhamdulillah rezeki kami terima tak pernah putus biarpun jika lihat di page FB, tak pernah kami cerita nak (perlukan) apa.

"Bagi saya untuk ubah stigma masyarakat yang melihat anak yatim golongan meminta-minta, sudah semestinya kita sendiri harus mengubah diri sendiri terlebih dahulu," kongsi Pengasas At-Taqwa, Norhayati Wan Abib dengan Cakna Sinar ketika kunjungan ke At-Taqwa.  

Percaya setiap berlaku ada hikmahnya, baginya apabila dipilih-Nya untuk membuka rumah kebajikan itu, ia adalah rahmat ALLAH bagi memudahkannya mendapat pahala.

"Kadang kita susah juga nak rebut pahala, tapi syukur ALLAH mudahkan buat saya. Tak perlu terlalu risau mampu atau tak, ALLAH dah janji rezeki untuk anak yatim, yang penting kita doa.

"Alhamdulillah urusan kami juga dipermudahkan, sejak saya buka rumah ni," katanya yang menguruskan asalnya empat anak yatim dan kini jumlah keseluruhan penghuni At-Taqwa 60 orang dengan 30 lelaki dan 30 perempuan berusia antara 3 hingga 21 tahun.

Daripada jumlah tersebut, seramai lapan penghuni At-Taqwa adalah orang kurang upaya (OKU) dengan tujuh daripadanya anak autisme dan seorang lagi disleksia.

Daripada keseluruhan penghuni pula, 12 daripada kalangan mereka berdepan masalah keluarga, manakala selebihnya adalah anak yatim.

 

Sokongan suami

Melihat latar belakang Norhayati, ada kisah menarik wanita berusia 42 tahun, berasal dari Selama, Taiping, Perak ini sehingga dia memutuskan membuka At-Taqwa.    

Disebabkan berpindah ke kawasan baru belum ramai dihuni penduduk, bekas penuntut Institut Perguruan Abim ini menjadi sukarelawan menguruskan jenazah dan turut mengajar fardu ain sekitar kediamannya di Puchong Perdana.

Bila bergelar ustazah, orang memandang tinggi untuk bukan sekadar mengajar, kadang dia lebih dikenali sebagai Ustazah Yati ini juga jadi tempat mengadu.

Seorang yang tidak biasa duduk diam, pernah juga Norhayati bekerja di sebuah rumah amal selama kira-kira empat tahun.

Apabila terdapat anak-anak yatim dan memerlukan memintanya sendiri menjaga mereka, dia pada mulanya agak keberatan disebabkan kekangan tertentu, namun akhirnya berbuat demikian.

"Saya jadi rapat dengan anak-anak dari rumah amal saya bekerja itu , mereka itulah minta saya jaga mereka bila saya dah berhenti kerja di situ. Suami, Amran Khalid, 44, pun sokong sebab suka budak-budak.

"Mulanya memang rasa bukan orang yang layak jaga mereka. Tapi suami sokong dan beritahu budak yang datang itu rezeki. Dia suruh fikir kenapa kami dilorongkan ALLAH untuk tinggal di sini, manakala peluang hanya datang sekali. Jadi saya bersetuju," katanya.

Apa di fikirannya, setakat menjaga makan, minum untuk empat anak memerlukan berkenaan ditambah perlu menjaga tiga anak kecilnya sendiri pada masa itu, masih tiada masalah dengan pendapatan suami sebagai juruteknik ketika itu.

Namun apabila mendapat tahu terdapat keperluannya untuk mendaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan disarankan membuka rumah kebajikan, Norhayati mula mengikut ketetapan dibuat.  

"JKM kata kalau tak ramai, cari rumah kecil, corner lot dan ada tanah. Kami pun pusing Puchong cari tempat. Masa tu dapat tempat, tapi kami tak penah cerita dengan sesiapa nak buat asrama.  

"Peringkat awal banyak juga keluar duit kami sendiri, mula-mula memang tak terasa. Tapi bila tuan rumah dah minta tambah duit sewa, sebab tahu nak buat rumah amal, barulah terasa," ceritanya.

Bukan mudah buatnya pada mulanya, bagaimanapun, ALLAH mudahkan laluan buat Norhayati.

 

Ajar ilmu 'tarik rezeki'

Disebabkan perlu memberi fokus membeli pakaian dan peralatan belajar anak 'baharu'nya yang tidak bersekolah ketika itu, Norhayati dan suaminya menghadapi sedikit kekangan.

Biarpun sukar pada mulanya, ia menyebabkannya mereka terpaksa mengambil keputusan untuk menghantar surat permohonan sumbangan daripada syarikat korporat.

"Kami mulanya nak hantar surat pada korporat sebab nak harapkan duit yang ada tak cukup. Masa tu nak buat 10 surat saja, sebab rasa kalau satu syarikat bagi RM100 pun dah cukup RM1,000 untuk bayar duit sewa rumah amal yang dinaikkan.   

"Kebetulan waktu pergi fotostat, ada yang kenal saya, tanya mengapa hanya buat 10 salinan... kan pelik. Selalu orang nak minta sumbangan akan fotostat banyak-banyak. Entah bagaimana kemudian ada yang tahu saya memerlukan bagi nombor telefon orang boleh saya call untuk dapat bantuan," katanya.

Berfikir beberapa kali sebelum membuat keputusan menghubungi nombor talian diberi, mulanya dia hanya mencuba dan kemudian diminta bertemu.

Mungkin kesempitannya ketika itu disampaikan mereka terbabit, hasil perjumpaan tersebut, insan tersebut bersetuju memberinya sumbangan permulaan RM1,000.

Malah setelah mendapat tahu, jarak perjalanan Norhayati ke kediaman disewanya untuk dijadikan rumah amal, agak jauh dan memerlukannya keluar rumah seawal jam 4 pagi ke situ,  individu tersebut bersetuju untuk mewakafkan salah satu rumah miliknya.  

"Masa dia kata nak bagi rumah ni, saya antara nak percaya dan tidak saja. Esoknya dia call, dah sepakat dengan famili dan nak wakafkan, saya terus sujud syukur.

"Alhamdulillah, daripada empat, sekarang sudah 60 penghuni At-Taqwa. Itu pun saya tak pernah buka untuk pendaftaran penghuni. Mereka yang datang sendiri ke sini, mungkin juga dengan bantuan dari mulut ke mulut," kata Norhayati yang kini mempunyai empat cahaya mata.

 

Jaga kebersihan, doa

Jujur memberitahu tidak banyak bantuan diterima At-Taqwa, namun Norhayati berkata, dia bersyukur rezekinya dan anak-anak terbabit tetap ada daripada-Nya, yang penting doa untuk mendapatkannya.

Menariknya pesan Norhayati, untuk 'menarik rezeki' pastikan rumah sentiasa dalam keadaan bersih, kerana malaikat rahmat akan suka datang.

"Malaikat rahmat ni pun membawa rezeki. Pastikan juga jangan bergaduh, jaga silaturahim dan makanan yang ada jangan membazir. Saya pun seorang yang sangat menjaga kebersihan, sebab bagi saya ia adalah asas.

"Alhamdulillah walaupun tak banyak, rezeki kami tak pernah putus," katanya yang dibantu dua kakitangan, iaitu seorang sukarelawan dan seorang lagi warden di asrama lelaki, terletak 50 meter dari asrama wanita di bawah jagaannya.

Dengan pengalamannya gemar berniaga dan sebagai guru kaunseling serta guru disiplin di sekolah selama 18 tahun, Norhayati menggunakannya sepenuhnya untuk dimanfaatkan buat penghuni At-Taqwa.

Tegasnya, disebabkan tidak menganggap penghuni At-Taqwa sebagai anak yatim, tetapi famili, selagi belum tamat belajar, dia tekad akan menyokong dan usahakan bagi mengatur keperluan mereka.

"Bila dah umur 18 tahun ke atas, saya tak mahu mereka keluar dari sini suka hati, tapi saya akan guide sampai mereka boleh berdikari. Yang lepas, tujuh  penghuni setakat ini baru lepasi 21 tahun dan boleh berdikari, baru mereka keluar.

"Saya anggap mereka anak saya. Kalau saya buat macam rumah lain, umur 17 dah kena keluar, apa nak jadi dengan mereka? Tapi di sini, jika nak berniaga kita bantu, saya cerita pada mereka, dulu pun saya berniaga, jual nasi lemak, sampai boleh beli sebuah kereta second hand. Jadi saya nak bantu mereka pula," katanya.

Hasrat Norhayati supaya penghuni At-Taqwa dapat membantu diri sendiri, keluarga dan orang lain terutama asnaf apabila nasib mereka berubah lebih baik.  

Dia juga berhasrat menjalankan usaha amalnya hingga akhir hayat dan berharap keempat-empat anaknya yang dihantar belajar tahfiz dapat meneruskannya.

"Apa saja berkaitan anak yatim, mudah dapat pahala dan mudah dapat dosa.

"Pesan saya pada anak-anak... ada ilmu agama yang kuat, baru boleh buat (jaga anak yatim)," katanya penuh makna.