PROGRAM  pemberian buku dan barangan permainan anjuran Sahabat Masjid Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Putra Bakti UPM diadakan hujung minggu lalu mendapat sambutan menggalakkan.

Program kali kedua ini mendapat kunjungan orang ramai datang dari pelbagai negeri itu bermula dari jam 9.30 pagi sehingga 12.30 tengah hari melibatkan 35 sukarelawan membantu menjayakannya.

Timbalan Pengerusi Sahabat Masjid UPM, Muhammad Norhisyam Nordin berkata, penganjuran kali ini lebih terbuka kerana penganjur juga menjemput pelbagai lapisan masyarakat dan agama sebagai menyokong aktiviti berkenaan.

"Pendekatan dakwah dibuat secara berhemah. Antara objektif penganjuran kali ini adalah bagi meluaskan jaringan kerjasama antara komuniti dan masyarakat yang turut menyumbang.

"Selain itu, program ini juga bertujuan mengimarahkan lagi masjid yang bukan sahaja sebagai tempat ibadah, bahkan juga sebagai tempat berhimpun dan melakukan aktiviti lain," katanya semasa program Free Books & Toys 2/2018 berlangsung di Masjid UPM, Serdang, itu.

Norhisyam tidak menolak kemungkinan Sahabat Masjid UPM dan Putra Bakti UPM akan mengadakan lagi program sama pada siri yang akan datang.