PERSATUAN Kebajikan Kanser Payudara (BCWA) bersama Syarikat biofarmaseutikal inovatif, Pfizer Malaysia melancarkan ‘Pink InspirerS’ — kumpulan sokongan pimpinan pesakit pertama di Malaysia, bertumpu kepada Kanser Payudara Metastatik (mBC).

Pink InspirerS bermatlamat mengupayakan wanita menghidap mBC di Malaysia agar dapat menjalani kehidupan lebih baik dalam menentang kanser.

Oleh sebab belum ada penawar diketahui bagi mBC setakat ini, maka kesan menghadapi penyakit metastatik dari segi mental dan emosi ada kalanya mendalam, iaitu perasaan wanita terhadap dirinya sendiri, cara mereka berhubung dengan orang lain, malah cara mereka menjalani kehidupan seharian.

Kajian menunjukkan bahawa pesakit mBC berasa tersisih, keseorangan, murung, terabai dan kurang diwakili dalam komuniti kanser payudara yang lebih umum.

Tekanan psikologi akibat rawatan seumur hidup dan beban kewangan tidak hanya bagi pesakit itu sendiri tetapi juga bagi penjaga dan keluarga pesakit mBC.

Pengasas Pink InspirerS, Chang Chu San berkata, pesakit mBC sentiasa memerlukan sokongan dan galakan kerana akan kerap menjalani rawatan.

"Malangnya, masyarakat kita kurang rasa empati dan memahami perjuangan dan keperluan para pesakit mBC.

"Kami kerap harungi sakit ini seorang diri sementara orang lain memandang kami sebagai usaha yang sia-sia sahaja," katanya semasa pelancaran Pink InspirerS, di ibu negara, baru-baru ini.

Presiden BCWA dan mentor Pink InspirerS, Ranjit Kaur pula berkata, Pink InspirerS bermatlamat menjadi suara membawa harapan wanita menghidap kanser payudara.

Menurutnya, ahli grup pula saling memberi sokongan dengan cara berkongsi pengalaman dan semangat.

"Kami mahu didik tentang penyakit ini dan mengingatkan pesakit bahawa mereka tetap boleh menjalani kehidupan memuaskan dan bermakna dengan adanya penjagaan lebih baik, rawatan lebih berkesan, dan sokongan kukuh oleh keluarga,” katanya.

 

Didik, beri semangat

Antara inisiatif penting bagi tahun 2018, Pink InspirerS akan melancarkan sebuah program capaian seluruh negara, yang merangkumi Semenanjung Malaysia dan juga Malaysia Timur, untuk mendampingi pesakit mBC dan juga mereka yang baru didiagnosis menghidapnya agar dapat memberikan latihan sokongan rakan seperjuangan dan kemahiran asas cara menghadapi perjalanan menentang kanser.

Antara perkara diutamakan ialah perhubungan lebih baik antara doktor dengan pesakit, latihan psikososial, dan cara menangani hal-hal kewangan dan pekerjaan.

Ranjit berkata, matlamat pertama pihaknya untuk mengenal pasti dan melatih kumpulan sukarelawan terdiri daripada pesakit dan penjaga di setiap negeri.

"Mereka juga akan laksanakan misi Pink InspirerS, iaitu didik dan memberi semangat kepada semua pesakit mBC untuk hidup dengan bermaruah dan berharapan,” katanya lagi.  

Pelancaran Pink Inspirers oleh BCWA, adalah sebahagian daripada inisiatif Pfizer yang berterusan dalam komuniti setempat.

Pfizer baru sahaja melancarkan sebuah buku panduan sumber yang menyeluruh bertajuk, “Your Journey Starts Here: Living with Metastatic Breast Cancer” (Perjalanan Anda Bermula Di Sini: Kehidupan Sebagai Penghidap Kanser Payudara Metastatik) yang disusun untuk membantu pesakit mBC.

Pengarah Hal Ehwal Korporat, Kesihatan dan Nilai, Pfizer Malaysia, Noor Yang Azwar Kamarudin menegaskan bahawa terdapat keperluan mendesak untuk merapatkan jurang begitu nyata dari segi sokongan, kesedaran dan dasar awam antara mBC dengan kanser payudara peringkat awal.

“Pfizer berharap agar Pink InspirerS dapat menyediakan rangkaian sokongan tidak ternilai, yang menyatukan semua pesakit mBC di Malaysia, dengan itu melantangkan suara mereka bersama untuk menghapuskan keaiban sosial sering dikaitkan dengan kanser payudara metastatik.

"Ini sekali gus menangani isu-isu pesakit yang penting, misalnya hak undang-undang, pembelaan, pekerjaan, kemudahan mendapatkan rawatan lanjut dan khidmat penjagaan pesakit kanser,” katanya.

Sempena acara pelancaran rasmi itu, Pfizer Malaysia menghadiahkan bantuan kewangan sebanyak RM60,000 untuk membantu Pink InspirerS menubuhkan kumpulan sokongan dan melancarkan program capaian di seluruh negara ini.

Untuk mendapatkan maklumat selanjutnya Pink InspirerS, layari www.facebook.com/pg/AdvancedBreastCancer/.